Khamis, 21 Disember 2023

catatan buat anak tentang hari ini


Bismillahirrahmanirrahim
Selawat dan dalam buat baginda Sayyidil awwalin wal aakhirin. 


Wahai anak. 
Hari ini umi dan dunia menjadi saksi bahawa kekejaman Zionis itu luar biasa. Sudah tak terungkap dek rasa dan tak tertulis lagi dengan kata. Saudara kita di Filastin di ganyang sehabis-habis nya. 

Ketika catatan ini umi tulis, hari pembantaian terhadap penduduk G@z@ telah mencapai lebih 70 hari. 
Sedih hati umi tak terkata. 
Tak terbayang bagaimana kehilangan demi kehilangan yang menyakitkan. Kesakitan demi kesakitan yang berterusan. Kelaparan yang berpanjangan. Allah..... 

Wahai anak. 
Sebagai tanda beriman adalah kita mengasihi saudara kita yang mukmin sebagai mana kita mengasihi diri kita sendiri. 
Sabda nabi. 
لا يؤمن احدكم حتى يحب لاخيه ما يحب لنفسه
 
Seseorang belum lagi dikatakan beriman sehingga dia mengasihi bagi saudaranya sebagaimana dia mengasihi bagi dirinya sendiri. 

Hari ini dunia menjadi saksi, saudara Muslim kita dimusnahkan Yahudi yang bersifat seperti Yakjuj dan Makjuj. Tiada belas kasihan bahkan merasa bangga. Dalam masa yang sama terus mengejek dan mempersendakan nabi Muhammad Sallallahualaihi wasallam. 

Mereka tidak gerun dengan dunia kerana didokong @Marika yang bertindak umpama tangan dajjal. Kuasa veto padanya. Sangat jelas. Yang tidak mengikut kemahuan akan musnah . 
Tapi mereka lupa pembalasan akan tetap ada. 

Hati seorang ibu seperti umi, akan terus menangis melihat anak-anak kecil yang di keluarkan berdebu dari bawah runtuhan bangunan yang di bom tentera Zionis. Yang tertimbus dan tak di selamatkan entah berapa banyak. Pilu hati melihat ayah yang memanggil anak-anak nya dari celah-celah timbunan runtuhan. Sakit, sangat menyakitkan 💔

Lebih menyedihkan, seorang lelaki membawa cebisan badan anak-anak nya didalam beg plastik kesana kemari. Allah. . Hasbunallahwaniamalwakil. Namun dunia islam yang kuat disekeliling Palestin masih membisu. Tak mampu berbuat apa-apa. Kecuali negara Yaman yang bertindak penuh keberanian. 
Wahai anak, ingatlah, apa yang berlaku telah berada dalam Qadha dan Qadar Allah Taala. Namun kita perlu mengambil iktibar dari setiap perkara yang berlaku. 

فاعتبروا يا اولى الابصار
Ambillah iktibar wahai orang yang punya pandangan(al-Hashr-ayat 2) 

Syeikh Ahmad Fahmi zam-zam rahimahullah sering menyebutkan kepada kami ketika mengajar " Tarikh islami" -"Belajar lah dari sejarah. Kerana apa yang berlaku dalam sejarah itu akan berulang, cuma wataknya sahaja yang berbeza". 

Apa yang berlaku kepada Gaza pada hari ini antara lain adalah disebabkan oleh pengkhianatan kepimpinan ummat islam sendiri. Memudahkan dan berlemah- lembut dengan musuh Islam hingga mereka "naik kepala"
Sedangkan sepatutnya

اشداء على الكفار رحماء بينهم
Tegas terhadap orang kafir dan berkasih sayang terhadap sesama Muslim
(Al-Hujurat ayat 29) 

Wahai anak. Ingatlah pesan umi, jaga agama dan aqidahmu, jaga solatmu. Kerana Solat itu adalah satu amanah diantara hamba dan Tuhannya. Seorang yang menjaga amanah dengan  Allah tentu sekali dia tidak akan mengkhianati amanah yang diberikan kepada nya walau dalam apa jua keadaan. 
Anak-anak yang dikasihi. Melihat wajah redup dan lembut anak-anak Filastin dengan senyuman dan kekuatan luar biasa, mengingatkan umi dengan anak-anak. Walau dimana kalian berada. Cabaran kalian akan berbeza. Namun aqidah kita sama. Teruslah menghadapi cabaran zaman dengan ilmu dan panduan dari Alquran, Hadis dan ahli ilmu yang menyampaikan. Terus berpaut pada guru yang ada sifat wara' supaya kita akan sentiasa dipimpin dalam kebenaran dan tahu membezakan yang hak dan yang batil. 

Semoga Allah jaga anak-anak umi dan generasi yang akan datang. Mana tahu, jika Allah takdirkan kalian adalah antara golongan yang mampu sujud di Masjidil Aqsa dengan tenang dan selamat. 
Subhanallah... 
Alhamdulillah... 
Allahuakbar..... 



Ahad, 10 Disember 2023

Malu



Malu rasanya
Saat ingin mengirimkan kata
Bahawa ada Rindu didalam jiwa
Buat baginda yang amat mulia. 

Malu rasanya
Saat ingin menyatakan rasa
Bahawa cinta itu ada
Buat kekasih Allah yang maha Esa. 

Malu terasa
Kerana hati pernah berdosa
Kerana jiwa masih bernoda
Apakah layak cinta diterima
Apakah pantas Rindu terpaut. 

Malu yang teramat
Memaut Rindu dan cinta buat pembimbing ummat. 
Namun  hati percaya baginda insan penuh rahmat
Cintakan beliau suatu niamat
Menjadi bekalan untuk keakhirat
Memandu jalan dititian sirat
Semoga mengharum dan mekar dengan seribu solawat. 

 اللهم صل وسلم عليه وعلى آله واصحابه وذرياته


Rabu, 8 November 2023

Luka parahnya Gaza. Hilang segala nilai manusia.


Bismillahirrahmanirrahim.
Selawat dan salam buat nabi junjungan.Muhammad sallallahualaihiwasallam.
 
 Serangan berterusan Isr@el keatas bumi Gaza menyaksikan beribu nyawa terkorban. Usah dikira yang cedera dan kehilangan anggota badan, bahkan tubuh anak-anak kecil hanya tinggal cebisan. 

Kejam. 
Tiada belas kasihan. Hilang nilai kemanusiaan bahkan juga sifat belas kasihan yang tersisa dalam kelompok haiwan pun tiada dalam fikiran mereka yang merancang serangan. 
Yang penting bagi mereka adalah kepuasan. Tanpa memikirkan akibat dan balasan di hari kemudian. 

Teramat sedih dan pedih. 
Melihat anak-anak kecil mencari ibu dan ayah. Meraung kesakitan dengan luka yang parah. Sangat merobek perasaan dan hati kita. Berat mata hati yang memandang berat lagi pada tubuh badan yang ditimpa ujian . Kenapa "mata hati"? Kerana ada manusia yang memandang dengan mata zahir, namun mata hatinya tiada simpati. 

Luluh jiwa dan rasa melihat seorang ibu mencari-cari anaknya yang maut dibawah runtuhan. Anak yang ditatang bagai minyak yang penuh, sekelip mata berubah wajah tak dapat dikenali kerana parah dan berdarah. Seorang suami yang mengendong jenazah bayinya sambil meluahkan cinta dengan tulisan pada kain kapan isteri... Allah.. Ujian mereka hebat. Kerana mereka ummat yang terpilih. Untuk masuk ke syurga Allah dengan tiket syahid. 
Sebagaimana kata seorang ahli ilmu," Kalau Yahudi itu dimusnahkan Allah, dengan apa kamu ingin ke syurga? 

Tapi yang lebih menyedihkan adalah kebisuan yang panjang dari pemimpin-pemimpin ummat di sekeliling. Tidak mampu melakukan apa-apa atau takut untuk bertindak dengan pelbagai alasan yang pelbagai. Benarlah makdud Sabda Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasalalam, ummat Islam diakhir zaman umpama buih di lautan   Meskipun banyak tapi tidak kuat menghadapi cabaran. 

Peperangan ini, hikmahnya menjadikan kita lebih peka dengan sejarah. Lebih berminat mencari maklumat dan ilmu tentang para nabi terdahulu. Seperti kisah Nabi Musa dan Bani Israel yang di perintahkan Allah memasuki Baitulmaqdis. Juga kisah nabi Yaakub dan asal usul Yahudi dan kisah bintang enam dan bumi Kan'an, Filastin. Juga janji-janji Allah melaui lisan dan wahyu nabi,semuanya adalah ilmu yang perlu terus kita terokai. 

Bukalah mata dan bukalah hati, menghayati sesuatu tragedi dengan ilmu akan menjadikan kita lebih memahami sesuatu peristiwa dengan baik. Juga menjadi iktibar buat diri dan masyarakat.

Bacalah al-Quran dan hayati maknanya. Ia akan menguatkan hati kita. Yakin dengan janji-janji Allah. Merasakan dekatnya kalam  Ilahi dalam setiap peristiwa yang terjadi. 
Ya Allah.. . 
Bayangkan ketika anda membaca didalam al-Quran tentang Saidatina Maryam dan kelahiran nabi Isa di bumi Palestin, ketika itu terbayang anak-anak kecil yang di bom dan cedera parah di Gaza, Allahuakbar.... Tentu tak terbendung air mata.

Hayati dan tadabbur surah al-A'araf dan Surah al-Isra'. Juga lain-lain surah dalam al-Quran. ia akan memberikan banyak jawapan kepada tanda tanya di hati kita.

Al-Quran, telah menceritakan segalanya. Melampaui batas masa dan zaman. Dekatkan lah diri dengan al-Quran, semoga ia menjadi pembimbing, penenang dan pendamping kita disaat sukar. 

Berada pada fasa akhir zaman, memang menggerunkan.Tanpa iman , tanpa ilmu dan tanpa guru yang membimbing bisa mengelincirkan seseorang dari jalan yang benar. 
 Kita memang mengimpikan melihat Filastin merdeka di depan mata dan rakyatnya bahagia di tanahair mereka, tapi kita perlu melalui fasa kehadiran dajjal dahulu . Saat inilah yang sangat membimbangkan. Dajjal-dajjal kecil  telah pun bermaharajalela. Ramai ummat Islam telah pun terikut-ikut dengan cara hidup Yahudi dan Nasrani. Cintakan dunia dan meninggalkan syariat yang mulia. Bimbang, generasi yang penuh dengan "Wahan" , tidak lagi dapat bertahan dari musuh dan syaitan. 

Membina generasi tentera al-Mahdi bukanlah mudah. Al-Mahdi yang akan membebaskan Palestin. Bersama nabi Isa yang akan membunuh dajjal. 
Kehadiran nya ditunggu ummat, tapi tidak diketahui siapa yang sempat. 
Persiapkanlah diri dengan apa yang telah disyariatkan oleh Nabi Muhammad. Insya-Allah kita tidak akan sesat. 

Bumi al-Qudds adalah tempat berlakunya tempat israk dan mikraj nabi Muhammad sallallahualaihiwasallam. Tumpuan kita yang kini terarah kesana mengajak kita untuk kembali menghayati perjalanan baginda ke sidratul muntaha.

Terdapat 11 peristiwa ganjil yang diperlihatkan kepada baginda. Antaranya adalah azab orang yang meninggalkan solat, azab orang yang tidak menunaikan zakat dan seksaan terhadap penzina.
Menginsafi peperangan dan kekejaman yang berlaku di bumi Mikraj, seharusnya ummat Islam berusaha memperbaiki diri dan berusaha melaksanakan ibadah yang dituntut dan menjauhi larangan dalam syariat.

Ketika kita diberitakan ramainya orang bukan Islam yang mula tertarik dengan Islam ketika melihat bagaimana seorang mukmin menerima musibah di Gaza, seharusnya kita juga perlu berusaha memperbaiki diri dan keluarga serta menambah amalan. Kerana kita lebih mengenal Filastin dan penghuninya berbanding mereka.

Ya Allah. Bantu lah saudara kami di bumi Filastin. Jadikanlah kesabaran dan kekuatan jiwa mereka yang indah itu satu kekuatan buat jiwa-jiwa kami. Kami yang sering mengeluh sekalipun dalam niamat yang panjang, sedangkan mereka seringkali kehilangan orang yang tersayang.

Ya Allah.Jadikanlah kami orang yang mensyukuri niamat anak-anak yang masih dalam pelukan dan genggaman. Sedangkan mereka mengucapkan selamat jalan buat anak-anak yang syahid dibawah runtuhan.

Ya Allah. Perit dan pedih melihat kekejaman tanpa dapat melakukan apa-apa.Namun Engkaulah Yang Maha Bijaksana. Ada hikmah dan jalan di sebalik peristiwa. Engkaulah yang mengatur segala. Kehancuran penzalim akan tiba jua. 

Ya Allah.. ummat kekasih-Mu dan nabi-Mu dihina dan dizalami oleh Y@hoodi. Sedangkan bagindalah yang mengeluarkan Y@hoodi ini dari Madinah kerana pengkhiyanatan mereka.
Hanya dari-Mu kami mohon pertolongan buat ummat kekasih-Mu. 
.😭...................لو كان بيننا الحبيب

Semoga kitalah antara "Yang menyalakn pelita" di bumi Al-Qudds dengan harta dan upaya.
Semoga kita lah antara yang sujud dibuminya.
Semoga Allah berikan pertolongan dan kemenangan yang agung buat tentera-Nya di bumi Filastin.





Isnin, 23 Oktober 2023

Tanah bumi Kan'an.

Bismillahirrahmanirrahim. 

Bingkisan buat TANAH BUMI KAN'AN

Tanah bumi Kan'an. 
Tanah  para rasul dan nabi
Dengan risalah dari Ilahi
Membimbing jasad dan rohani
Agar tidak tersesat sendiri. 
Tanah bumi Kan'an. 
Tanah Palestin yang suci
Tempat peristiwa  Mikraj Nabi
Baitulmuqaddis qiblat pertama 
Sebelum berpindah ke Makkah yang mulia. 
Hari ini,
 Tanah Kan'an bermandi darah lagi
Tangan-tangan Israel yang kekal menzalimi
Tanpa ehsan tanpa belas dalam diri
Membunuh anak kecil dan wanita sesuka hati. 
Berlarian suami mencari isteri
Anak kecil ketakutan dan tersakiti
Menggigil dan meraung sedih sendiri
Pelukan dan genggaman tiada lagi
Yang ada, 
Jasad ibu terkaku disisi. 
Gaza
Bumi as-Syafie Imam yang mulia
Kini bermandi darah anak-anak muda
Menjadi syahid merindu syurga
Haruman kasturi mengharumi Maya. 
Sungguh menyedihkan.. 
Apa daya kita
Selain doa menjadi senjata
Tindakan dan usaha sehabis kata
Sentuhan jejari juga ada jihadnya
Dengan tulisan dan juga media
Moga ada bahagian kita di syurga. 
Sampai ketika 
Pembalasan Allah akan tiba jua. 
Mereka
Zionis Israel yang kejam
Terus merosakkan dunia
Hingga saat janji Allah tiba
Terpahat dalam al-Quran yang mulia
Tidak sesekali mereka redha
Islam dijunjung umatnya sempurna. 




Ahad, 27 Ogos 2023

*Bukan sia-sia*



Ummu Ahmad, nama jiran kami di Tarim. Mengenali jiran yang baik adalah satu anugerah berharga buat anak rantau.

 Kalau ada yang sudah berkahwin dan berhasrat untuk bermukim di Tarim, belajarlah mengenali ahli Tarim yang berjiran. Selain dapat mempelajari bahasa dan lahjah Hadhramaut, mereka juga adalah orang yang suka membantu. 

Pada hari raya Aidilfitri yang lalu,Ummu Ahmad menalifon dan bertanya khabar. Dia juga gembira bercerita tentang anak-anak nya. 

Dalam satu perbualan saya katakan padanya, "alangkah beruntungnya kalian kerana berada di Bumi Tarim yang penuh berkah."

Ummu Ahmad menjawab:
" Wahai Aisyah. Allah menciptakan setiap tempat itu ada kebaikannya. Dia tidak menjadikan segala sesuatu itu sia-sia. Pasti ada kebaikkan di mana juga kamu berada"

Jawapan Ummu Ahmad seperti satu pukulan yang menyentak pada hati. 
Subhanallah... 

Ummu Ahmad, ibu anak 9 , bukanlah seorang yang berpendidikan tinggi. Tapi biah dan suasana telah mendidiknya menjadi seorang hamba yang sentiasa berbaik sangka dengan Allah. 

Lafaz-lafaz syukur sentiasa bermain dibibir mereka walaupun hidup dalam keadaan yang agak sukar. 

Jom jadi orang yang bersyukur, menghargai apa yang ada. Elakkan memburukkan sesuatu daerah dan membanding-bandingkan dengan daerah yang lain. Menghukum daerah yang miskin dan mengangkat daerah yang kaya adalah tindakan tidak beretika. 

Tugas kita adalah mentadbir dengan baik. Agar curahan rahmat Allah itu mengalir sama adil.... 


يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَٰكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَٰكُمْ شُعُوبًا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا۟ ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ ٱللَّهِ أَتْقَىٰكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Terjemahannya
Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling takwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. (Al-Hujurat ayat 13) 

Salam kemerdekaan. Ogos 2023

Jumaat, 7 Julai 2023

Hikmah dalam ujian

Bismillahirrahmanirrahim

Allah beri kita ujian agar kita lebih berpengalaman. 
Allah beri kita ujian agar kita lebih matang dalam pemikiran. 
Allah beri kita ujian agar kita lebih memahami selok belok kehidupan. 

Ujian yang Allah beri sebenarnya tidak sia-sia. 
Ada ganjaran pahala atas kesabaran kita. 
Dan ada ganjaran syurga menanti di akhirat sana. 

Ujian, tarbiah dari Allah  buat kita .

Dalam ujian sakit Allah mengajar kita tauhid, bahawa yang menyembuhkan itu bukan sesiapa dan bukan apa-apa. Tapi Dia yang maha Esa. 

Dalam ujian harta Allah mengajar kita tauhid, bahawa Dia yang memberi kaya, bukan sekadar bergantung kepada usaha semata-mata. 

Dalam ujian hati dan perasaan, jua Allah ajar kita tauhid , bahawa yang membolak-balikkan jiwa dan rasa itu Dia. Sekelip mata dari rasa cinta dan suka, bisa bertukar menjadi benci dan nista.
Begitu juga sebaliknya. Dari tidak suka bisa menjadi kasih dan mesra. 

Paling perit bila terjadi ujian antara pasangan, kecil hati, terasa hati dan sakit hati. Jelas sebenarnya disana, tauhid yang Allah ajarkan kepada kita, jangan bergantung kepada manusia semata-mata, kerana mereka akan berubah dan akan timbul rasa kecewa, tapi bergantung lah pada Dia sepenuhnya. Al-Malikul haqqul mubin adalah  pemilik alam semesta. 

Tiada daya kita, kecuali dengan  anugerah dan belas kasihan dari rahmat-Nya yang maha luas.
Yang penting... Mohonlah yang baik-baik dari Allah AL-BARRUR-RAHIM. 

Air oren batu lesung

Bismillahirrahmanirrahim. 

Masih lagi dalam mood Syawal. Walaupun sebenarnya sketsa berlaku sebelum Ramadhan lagi. 
Ketika ada tetamu yang hadir, umi minta diri untuk buatkan air di dapur. Tetamu rehat sebentar di ruang tamu. 
Di dapur bersama si kecil Salim , yang memang tersangat rajin nak membantu. 
Umi siapkan air oren dalam jag plastik dan letakkan atas kabinet dapur sementara nak masukkan ais.
Ambil ketulan ais dalam peti sejuk dan ketuk dgn anak lesung supaya lebih kecil. 
Salim nak ketuk jugak. 
Umi beri sedikit ais pada Ahmad Salim untuk diketuk dalam lesung batu. Sebenarnya juga agar Salim tak mengganggu proses penyediaan minuman untuk tetamu. 😁.  
Duk, duk, duk. Khusyuk ais diketuk. 
Umi pusing cari dulang minuman, dah dapat terus kearah jag plastik tadi. 
Aik, Tak ada.... 
Mana air oren? 
Tengok pada Salim. 
MasyaAllah.... 
"Alim dah boh ais"
Rupanya Salim dah angkat jag air oren  yang dah sedia untuk tetamu dan masukkan ais batu dari lesung batu yang di ketuk 😅. 
Allah.... Takkan nak jamu tetamu dgn air oren perisa bawang dan cabai. Lagipun ais dah tak ada. 
Salim hanya terkebil-kebil rasa bersalah. Kalau kuat sikit suara umi, memang akan meraung satu rumah. 
Terpaksa buat air teh panas untuk tetamu. Air oren campuran rasa tangan kecil Salim nampaknya ke sinki sahaja. 
Sebaik dihidangkan, tetamu minum teh panas dan kelihatan rasa sangat nyaman. 
"Alhamdulillah... Lega rasa. Hari ni rasa macam nak selsema."
Umi terdiam. Hikmah air oren batu lesung si kecil Salim. Jika tadi umi hidangkan minuman sejuk, tentu tetamu rasa kurang selesa. Walaupun mungkin tak akan cakap apa-apa. 
 "Bahasa anak", ilham dari Allah yang kadangkala tak terjangkau dek akal kita. 

Ibrahnya.... Jangan cepat naik angin😅. 

#bahasaanak
#ibrahdanqissah
#serisurikehidupan
#Selamatharirayamaafzahirdanbatin.2023


Selasa, 23 Mei 2023

Redha & bahagia.



Bismillahirrahmanirrahim. 

Berkesempatan berbual dengan seorang kakak. Kita namakan Puan A. Wanita yang lebih berusia dari kita. Dia bercerita tentang anak-anak nya. 

Ada yang telah bekerja. Alhamdulillah. Ada yang gagal menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan ada yang kelainan upaya. Tak sama seperti orang lain. 

Namun riak wajah Puan A tak langsung menunjukkan rasa kesal atau susah hati. Wajah sentiasa tersenyum. Walau apa jua keadaan anak-anak nya dia tak mengeluh.
Dia tidak menyalahkan sesiapa. Kita yang berbual bersama turut rasa bahagia dengan cara Puan A bercerita. 

Menghargai apa jua keadaan anak-anak. Walaupun beliau cuma seorang suri rumah dan suami berpendapatan sederhana, namun menerima apa yang telah Allah takdirkan mencorak wajah ceria dari hati yang redha. 

Setelah berusaha mencorak anak-anak dengan Ilmu agama, memastikan mereka solat sebaiknya, menanamkan adab dan akhlak yang mulia, selebihnya adalah pada Allah kita berserah. 

Subhanallah... Bahagia itu tidak semestinya memiliki segala. Tapi bahagia itu apabila redha dengan apa yang ada. 


Selasa, 2 Mei 2023

Rindu


3 April 2023/ 12 Syawal 1444

Sanggar Rindu. 

Rindu. 
Kadangkala ia wajar
Pada watak yang benar
Menggilap kasih menyulam seri
Diantara suami dan isteri. 

Rindu. 
Adakala ia tersasar
Dari rasa yg tercemar
Bisa membawa pada dosa-dosa besar
Jika tidak lagi terkawal dalam sedar

Rindu
Sebuah rasa yang indah
Bisa jadi parah
Jika tak terbimbing berpaut pada Allah. 

Tapi, 
 Rindu pada Rasululah
Ia pengubat jiwa yang resah
Selawat dan zikir makin bertambah
 Hati bertekad untuk ziarah
Maqam baginda di tanah Madinah. 

Rindu Rasulullah. 
Didiklah hati agar kian bercambah
Rindu pada kekasih Allah
Agar dapat beroleh syafaah
Serta dapat bersama di dalam jannah. 

Semoga, 
Terbimbing hati membawa Rindu
Pada Rasul dan bukan pada nafsu . 

U.Zaharah 
@ummusulaim




Isnin, 3 April 2023

Bahasa seorang anak


Bismillahirrahmanirrahim.

 Cerita kelmarin. Semasa dalam perjalanan ambil kakak di sekolah, si kecil Salim minta umi nasyid😅. Dalam kereta , tak ada sesiapa yang dengar. Tak sedap pun tak apa.Tapi bagi seorang anak, suara ibu adalah halwa telinganya sejak sekian lama 😊.

Salim sangat suka dengan rangkap lagu,

Kurniakanlah dapat melihat,
Wajah mulia nabi Muhammad,
Didalam mimpi walau sesaat,
Agar rindu kami terubat. 

Umi pun nasyid. Bila dah habis rangkap diatas, umi pun senyap sebab tak pandai sambung lagi. 

Salim minta ulang lagi dan lagi. Paksa umi dia ulang rangkap yang sama berkali-kali hingga sampai sekolah kakak.

Bila dalam keadaan puasa , bahasa indah itu kita ulang dan ulang, MasyaAllah....
Bukan letih yang kita dapat. Tapi menusuk ke dalam jiwa dan air mata mengalir tanpa paksa. 

Terasa, layakkah wajah nabi kita tatap. Dengan Nazrah (pandangan) kita yang banyak dosa. 😥

Bahasa anak, kadangkala mengajar dan mendidik kita tanpa sedar. 
اللهم صل وسلم عليه . صلى الله عليه. 

#Bahasaanak
#serisurikehidupan
#ibrahdanqissah. 


Isnin, 27 Mac 2023

Pisang oh pisang

Bismillahirrahmanirrahim

Beberapa hari ini, kami melalui minggu yang penuh dengan pisang. Mula-mula jiran belakang rumah bagi 2 tandan pisang. Ya-Allah,..  banyaknya!!!. 
Pisang belum masak sepenuhnya, jadi kita sikat dan biar masak. Kemudian diagihkan kepada saudara - mara terdekat. 
Esoknya, ada sahabat suami sedekahkan pula satu plastik Pisang Jari Buaya. Dan selepas itu ada hamba Allah baik hati sedekahkan satu tandan pisang Emas. Allah... murah rezeki dgn pisang.
Pisang yang berbaki dirumah mula-mula anak buatkan kek pisang, hari berikutnya, cekodok pisang, seterusnya apam pisang.
Buat banyak sedikit, kita agihkan pada jiran dan makcik yg beri pisang. 

Sewaktu buat apam pisang, mula-mula adunan dimasukkan dalam acuan lompang yang comel. Tapi bila ada tetamu yang datang, baki adunan terus dimasukkan dalam bekas yang agak besar supaya cepat habis. Letak hirisan pisang berbentuk senyum untuk gembirakan si kecil bila dah masak. Tapi bila dah masak lain pulak jadinya. Nampak mengerikan. 
Nak gelak pun ada😅. Dapat dekat si kecil, Salim, habis dipotong-potong apam pisang yang mengerikan tu.  Subhanallah. Macam-macam cerita dgn pisang. 

Sebenarnya dua tandan pisang yang diberi oleh jiran belakang rumah itu adalah buah terakhir dari kebun pisangnya. Kerana kebun itu telahpun diratakan untuk ditambun tanah. Mungkin akan didirikan kediaman yang baru. Semoga Allah melimpahkan rezeki buat makcik yang memberi pisang. 
Ibrahnya, berbaktilah hingga titik terakhir seperti 2 tandan pisang.