Sabtu, 23 Ogos 2025

Seorang junior yang "Masturah".


Bismillahirrahmanirrahim  

Mengenali seorang adik ini, Junior kami di Maahad Tarbiah Islamiah Derang adalah juga setelah mengenali kakaknya yang merupakan sahabat sekelas dari peringkat rendah hingga Kelas Tafaqquh. 

Sekalipun tidak terlalu rapat sebagaimana kawan-kawan yang tinggal di asrama, tapi hubungan mahabbah antara junior dan senior di MTID sgt kuat. Jumpa dimana-mana saja seolah jumpa ahli keluarga sendiri. 

Saya menulis tentang kak cik Mastura disini bukan kerana rapat dengan nya. Tapi kerana setelah pemergiannya, ramai saudari-saudari yang mengenali kakcik menulis tentang kebaikkan kak cik terhadap mereka. 

Beberapa tahun sebelum PKP saya bertanya kepada kak caq Farahiyah Sobri, dengan siapa saya boleh belajar Al Quran secara mendalam dari segi makhraj dan sebagainya. 

Kak caq menyarankan adik nya Kak cik  Masturah. Kerana kakcik antara pelajar-pelajar Syria yang mengambil sanad bacaan dari masyaikh di Syria. 
Kebetulan kediaman Kakcik tak jauh dari rumah kami. 

Alhamdulillah, ilmu kak cik dapat kami manfaatkan . Saya dan seorang lagi sahabat Irwani Yusuf mengatur beberapa kelas pengajian bermula dengan tahsin Fatihah, program khas Ramadhan dengan tajuk " Dampingi Mukjizat" hingga kelas mingguan pengajian Al Quran. 

Kakcik memberi komitmen penuh walaupun kelas-kelas terakhir ahli pengajian semakin kurang. 

Program terhenti kerana kehadiran ahli pengajian yang mendadak turun akibat Covid-19. 

"Kak akan tetap mengaji dengan kak cik walaupun orang lain tak ada"
Saya mohon izin dari kak cik untuk talaqqi sendirian di kediaman nya. Saya hadir ke rumah Kak cik setiap pagi Rabu. 

Hinggalah kakcik memaklumkan tentang kesihatan nya. Kelas terpaksa di hentikan.Cuma sesekali saya hadir ziarah melihat keadaan kak cik. 

Dan petang Ahad lalu,ketika sedang mengajar anak-anak kecil di rumah ngaji, Wani hantar mesej" Dah tengok ka dalam group ? Kak cik dah tiada. "

Hati tersentak, tiada terkata apa-apa selain ungkapan Tarjie'. 
Innalillahi wainnailaihi rojiun.

Terbayang anak kecil yang mendampingi ketika kami mengaji, terbayang wajah Abbudy yang manis tersenyum, Segalanya meruntun hati. 

Dan kelmarin, ketika hadir ziarah, berteleku seketika di hadapan jenazah kak cik yang lengkap dan kemas berbalut kafan, menghadirkan rasa hiba yang teramat dengan limpahan air mata yang tak dapat lagi ditahan. Beberapa saat sahaja sebelum diangkat dengan pengusungan, dihadapan seorang junior juga seorang guru. 

Dia bukan hanya seorang "Masturah"(yang tersembunyi dan terlindung) tidak suka mempamer gambar peribadi di status whatsapp apalagi media sosial sebagaimana namanya, tapi dia juga adalah seorang guru Al Quran buat kakak-kakak dan makcik-makcik  kawasan sg petani dan Pinang Tunggal. Hanya ketika dia tiada, kebaikkan nya baru menjadi sebutan. 

Solat jenazah kak cik diimamkan oleh suaminya sendiri, ustaz Solah. Dengan doa dan suara yang menyentuh jiwa. 

Semoga Allah menempatkan kakcik Masturah Harisin Sobri   bersama para solihin dan ahli Al Quran. 
أعظم الله اجركم 
Buat keluarga yang ditinggalkan. 

# qissahdanibrah. 
#Alquranitucahaya

Jumaat, 4 April 2025

Pesan Buat puteri bakal bidadari dihati suami


Perkahwinan adalah satu sunnah anjuran Rasulullah. Melaksanakannya adalah menyempurnakan sepertiga agama. 
Suami dan isteri adalah individu yang diciptakan untuk saling melengkapi kekurangan masing-masing. 
Perkahwinan jadi indah bila ia dilaksanakan atas tujuan taat dan patuh pada perintah Allah. Berpandukan garis panduan dan syariat yang disampaikan oleh Rasulullah. 

Wahai putriku. 
Saat Allah takdirkan untuk mu seorang lelaki sebagai suami, disitulah tumpahnya kasih sayang dan rahmah. Banyak perkara yang perlu engkau pelajari untuk menjadi isteri solehah . 
Disini umi turunkan pesan dari pengalaman dan amalan, agar sedikit sebanyak menjadi bekal buat panduan dalam melayari laman kehidupan. 

💐Rendahkan dirimu dengan suami, jadikan dirimu umpama bumi, nescaya engkau akan dinaungi oleh langit yang sangat luas anugerahnya. 

* merendah diri dengan suami tidak akan merugikan apa-apa. Sekalipun engkau memiliki sesuatu kelebihan berbanding suamimu, sama ada harta, kecantikan, ilmu atau kedudukan. 
Bahkan dengan merendah diri,kedudukan mu disisi Allah akan lebih tinggi. 

*Jika engkau merasakan ilmu mu mungkin lebih dari dia, bertawaduklah, kerana ilmu semuanya milik Allah. Kita hanya dipinjamkan seketika.

*Berhikmahlah dalam membetulkan kesilapan pasangan. Jangan sampai menjatuhkan air muka nya dan menyebabkan dia merasa hina. 

*Cari waktu yang sesuai dan membetulkan kesilapan dengan cara bergurau senda tanpa menyakitkan hati adalah lebih menyenangkan. 

💐Banyak kan sabar dengan pasangan. 
- Sebelum berkahwin, ramai guru dan sahabat yang telah berkahwin menasihati umi untuk "banyak bersabar".
Tapi bersabar itu terlalu luas, terlalu abstrak untuk diterjemahkan. Hinggalah kita sendiri yang melaluinya baru kita fahami bahawa sabar itu adalah 
* jangan cepat melenting
* jangan cepat naik angin
*jangan cepat marah-marah
* jangan cepat menghukum
Pendek kata, tenangkan diri walau dalam apa jua keadaan. 
Ia bukan mudah. Tapi hasilnya indah. 

🌹Berhemahlah dalam berbelanja ketika telah bergelar isteri.

* Dahulukan keperluan dari keinginan . 

* Perhatikan keadaan kewangan suami sebelum berkehendak dengan sesuatu keinginan yang mungkin diluar kemampuannya. 

*Sabar menempuh ujian kesukaran dan kesusahan diawal perkahwinan insyaAllah akan membawa bahagia yang berpanjangan. 

*Bantulah ekonomi keluarga dengan mengamalkan surah Al-Waqiah dan juga solat dhuha. Insya-Allah rezeki akan semakin berkat dan bertambah. 

*Jangan lupa tasbih Fatimah setiap malam sebelum tidur, ia sumber kekuatan seorang wanita. 

*Amalkan zikir yg diajarkan nabi kepada anaknya Saidatina Fatimah radhiallahu anha.
 ياَ أَوَّلَ الأَوَّلِيْنَ وَيَا آخِرَ الأَخِرِيْنَ، يَا ذَا الْقُوَّةِ الْمَتِيْنِ،
 وَيَا رَاحِمَ الْمَسَاكِيْنَ، وَياَ أَرْحَمَ الالرَّاحِمِيْن


Wahai puteri Ku. 
Allah berfirman dalam Alquran, 
Surah az-zariyat ayat 49- 50

وَمِنْ كُلِّ شَيْءٍ خَلَقْنَا زَوْجَيْنِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ

49. Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan agar kamu mengingat (kebesaran Allah).

فَفِرُّوْٓا اِلَى اللّٰهِ ۗاِنِّيْ لَكُمْ مِّنْهُ نَذِيْرٌ مُّبِيْنٌۚ

50. Maka segeralah kembali kepada (menaati) Allah. Sungguh, aku seorang pemberi peringatan yang jelas dari Allah untukmu.

* Perhatikan lah dua ayat diatas wahai anak, seolah nya Alquran berbicara kepada kita, seandainya menghadapi sebarang permasalahan bersama pasangan, segeralah kembali kepada Allah. 

Surah ar-Ruum ayat 21
وَمِنْ ءَايَٰتِهِۦٓ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَٰجًا لِّتَسْكُنُوٓا۟ إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَءَايَٰتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.

Semoga Ayat-ayat Alquran sentiasa menemani mu dalam menjalani alam rumah tangga. Dan semoga beroleh keberkatan hingga ke jannah. 

Dedikasi pertama untuk anak ngaji generasi awal. Bint sham dan pasangan. 
4/4/2025. 

*ummuabdulqadir*