Isnin, 16 Oktober 2017

Syafaat

SYAFAAT-SYAFAAT NABI MUHAMMAD SALLALLAHU 'ALAIHI WASALLAM
Oleh : Ustaz Khafidz bin Soroni

Syafaat-Syafaat al-Habib صلى الله عليه وعلى آله وسلم

Al-Hafiz al-Sakhawi (رحمه الله) mencatatkan dalam kitabnya al-Qawl al-Badi' (h. 277-278):
Baginda SAW memiliki beberapa syafaat, iaitu:
1. Syafaat agung (al-syafa'ah al-'uzma) pada hari kiamat kelak bagi seluruh makhluk di padang Mahsyar, untuk Allah tunjukkan kepada mereka keadaan yang sedang mereka hadapi, agar dimulakan penghakiman. Dan inilah maqam terpuji (al-maqam al-mahmud) yang seluruh golongan awal dan akhir memuji baginda kerananya.
2. Syafaat untuk orang yang masuk syurga dari kalangan umatnya tanpa hisab.
3. Syafaat untuk kaum penderhaka yang masuk ke dalam neraka kerana dosa-dosa mereka, lalu mereka dikeluarkan.
4. Syafaat untuk kaum yang layak masuk ke dalam neraka, lalu mereka tidak jadi dimasukkan ke dalamnya.
5. Syafaat bagi kaum yang dihalang oleh kesalahan-kesalahan mereka untuk memasuki syurga.
6. Syafaat untuk kaum daripada ahli syurga bagi menaikkan darjat mereka, lalu diberi kepada setiap mereka apa yang layak baginya.
7. Syafaat untuk orang yang mati di Madinah al-Munawwarah.
8. Syafaat untuk orang yang menziarahi kubur baginda SAW.
9. Syafat untuk membuka pintu syurga, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim.
10. Syafaat untuk orang yang menjawab azan.
11. Syafaat untuk kaum dari kalangan kuffar yang pernah berkhidmat terhadap baginda SAW, atau pernah terbit daripada mereka satu bentuk khidmat terhadap hak baginda SAW, maka akan diringankan azab mereka dengan syafaat baginda SAW. (seperti Abu Talib)
Dua syafaat yang awal di atas adalah termasuk khasa'is (khususiyyat) baginda SAW. Manakala syafaat yang ke-4 dan ke-6 di atas, harus dikongsi juga oleh orang lain dari kalangan anbiya', ulama', dan awliya', menurut al-Nawawi dalam kitab al-Rawdhah. Syafaat pertama tadi tidak dibantah oleh seorangpun dari kalangan kumpulan-kumpulan umat Islam. Demikian juga tidak ada khilaf mengenai yang ke-6. Adapun yang ke-2, kaum Muktazilah mengkhususkannya bagi orang yang tiada tanggungan ke atasnya, dan mereka juga mengingkari yang ke-3. Akan tetapi, kedua-duanya telah disepakati oleh seluruh Ahlus Sunnah dalam menerimanya disebabkan kesabitan hadith-hadith yang banyak mengenainya. (tamat nukilan)
12. Orang yang cintakan Ahlul Bait (keluarga Nabi SAW).
Ini berdasarkan hadith yang berbunyi:
شفاعتي لامتي من أحب أهل بيتي وهم شيعتي
Terjemahan: "Syafaatku untuk umatku bagi orang yang cintakan Ahli Baitku, dan mereka adalah pengikutku". (Riwayat al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad (1/257) daripada Saidina 'Ali RA. Lihat: Kanz al-'Ummal, no. 34,179)
Suruhan mencintai Ahli Bait Nabi SAW adalah satu perkara yang sudah dimaklumi secara jelas daripada hadith-hadith sahih, dan tentunya hadith di atas dapat memberi sedikit motivasi lagi dalam mengamalkannya. Mengapa tidak, sedangkan Rasulullah SAW telah bersabda: (المرء مع من أحب), yang bermaksud, "Seseorang itu akan bersama siapa yang dicintainya".
13. Orang yang mengamalkan doa ini selepas setiap solat fardhu.
Disebut oleh al-Sakhawi dalam al-Qawl al-Badi' (h. 252) - mengenai berselawat selepas solat - sebuah hadith dari Abu Umamah RA yang berbunyi:
من دعا بهؤلاء الدعوات في دبر كل صلاة مكتوبة حلت له الشفاعة مني يوم القيامة: اللهم أعط محمدا الوسيلة واجعل في المصطفين محبته وفي العالمين درجته وفي المقربين داره
Terjemahan: "Barangsiapa yang berdoa dengan doa ini selepas setiap kali solat fardhu, halal baginya syafaat dariku pada hari kiamat kelak, iaitu: (اللهم أعط محمدا الوسيلة واجعل في المصطفين محبته وفي العالمين درجته وفي المقربين داره)". Kata beliau: Diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Kabir dan di dalam sanadnya ada Muttarih bin Yazid, seorang perawi da'if. al-Munziri juga memuatkan hadith ini di dalam kitabnya al-Targhib wa al-Tarhib (2/375) dengan lafaz tamridh (isyarat da'if).
14. Orang yang berselawat dengan selawat ini.
عن رويفع بن ثابت الأنصاري قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : من قال: اللهم صلِّ على محمَّد وأنْزِلْهُ المَقْعَدَ المُقَرَّبَ عندَك يومَ القيامةِ، وجبت له شفاعتي.
Terjemahan: Daripada Ruwaifi‘ bin Thabit al-Ansari katanya : Sabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa yang membaca: (اللهم صل على محمد وأنزله المقعد المقرب عندك يوم القيامة) wajib baginya syafaatku”.
Kata al-Sakhawi dalam al-Qawl al-Badi' (h. 65) : Diriwayatkan oleh al-Bazzar, Ibn Abi 'Asim, Ahmad bin Hanbal, Isma'il al-Qadhi, al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir (no. 4480) dan al-Mu‘jam al-Awsat (no. 3285, katanya: Bersendirian Ibn Lahi‘ah dalam meriwayatkannya), Ibn Basykuwal dalam al-Qurbah dan Ibn Abi al-Dunya dalam al-Du'a' dengan lafaz (المُقَرَّبَ عندَك في الجنة، حلت له شفاعتي يومَ القيامةِ), dan sebahagian isnad mereka adalah hasan, sebagaimana kata al-Munziri. (tamat nukilan)
Ulasan:
Sekiranya ada yang menyatakan bahawa semua riwayat ini da'if, namun sebagaimana yang ditaqrirkan oleh para muhaqqiqin dari kalangan ulama hadith bahawa hadith da'if dapat diamalkan dalam bab fadha'il (motivasi) dengan beberapa syarat, antaranya tidak beriktikad ianya sabit sahih daripada Nabi SAW tetapi beriktikad dalam mengamalkannya bagi tujuan berhati-hati (الاحتياط).
Maksudnya, makna yang terkandung dalam hadith tersebut diamalkan kerana berhati-hati agar kita tidak meninggalkan satu perkara yang kemungkinan diucapkan oleh baginda SAW, lalu ia menjadi satu kerugian buat kita, dan juga agar kita tidak menghalang diri sendiri dari mendapatkan kelebihannya di atas kemurahan dan kurniaan Allah SWT, lebih-lebih lagi jika makna hadith dikuatkan oleh banyak hadith-hadith sahih yang lain, atau selagi tidak meruntuhkan mana-mana hukum/nas yang sabit.
Wallahu a'lam.

Ya Allah, janganlah jadikan kami terhalang daripada syafaat Nabi-Mu...

Khamis, 5 Oktober 2017

Jangan lepaskan anak-anak itu

Kita akhiri tahun 1438 hijrah dengan 2 kali kedukaan. Pertama , perginya anak-anak tahfiz dengan cara yang memilukan. Kedua, berita duka yang mengejutkan, pelaku kejadian adalah anak-anak remaja yang juga sebaya mangsa-mangsa terbabit.

Kita lepaskan anak-anak tahfiz dengan redha kerana syurga InsyaAllah pasti buat mereka . Meskipun ada hiba yang tersimpan dalam dada namun ganjaran diatas kesabaran ibu bapa anak-anak ini, sudah tentu tidak akan Allah sia-siakan.

Kita, sebagai anggota masyarakat, alangkah baiknya jika di saat ini meninggalkan kata-kata yang tidak baik pada anak-anak remaja yang terlibat. "Maafkan mereka"kata dr Muhaya. Lagipun bukanlah sifat seorang mukmin orang yang suka mentohmah, mencaci-maki dan bercakap kotor.

Sebenarnya perlakuan mereka sudah menjadi satu hukuman yang cukup berat kepada ibubapa dan penjaga mereka. Malu dengan jiran tetangga juga saudara mara. Tertekan yang teramat sangat.

Namun jangan dilepaskan remaja-remaja pelaku kejadian. Sesekali jangan. Jangan lepaskan mereka dari doa kita, agar mereka bertaubat dan berubah. Buat ibu bapa dan penjaga mereka, jangan lepaskan anak-anak ini dari talian kasih sayang kalian. Peganglah dengan kuat.Agar dia tahu masih ada yang menyayangi. Agar dia tidak lagi mengulangi. Jangan dilepaskan sama sekali. Jangan dibuang terus tanpa kata . Jangan tidak lagi mengaku anak.
Beruntung, jika dilepaskan dengan agama yang kukuh, dia mampu membawa diri. Sekalipun dilambung gelombang ujian dia tidak akan hanyut. Namun jika dibuang tanpa agama yang kuat dia akan hanyut dibawa arus. Dia akan kalah dengan gelombang kehidupan. Dan akhirnya menjadi sampah dalam masyarakat. Teruslah memegang  mereka dengan talian kasih sayang  dan doa agar nanti dia mampu bertaut sekalipun ada arus dan ribut! Biar dia bangun semula,menebus kesilapan lampau.

Ya Allah, bantulah kami mendidik anak-anak dizaman fitnah ini.

Jom bantu anak-anak membesar dengan 3A
*Aqidah yang benar.
*Amalan solat 5 waktu yang tepat waktu.
*Adab dan doa dalam kehidupan harian.