Rabu, 28 Disember 2016

Sebuah puisi buat SURIA ku





SURIA YANG KIAN PARAH.

Engkau pernah berdarah
Sekian lama dahulu
Tika sahabat masih bersama
Tapi bukan kerana dendam yang membara
Bahkan memerdekakan Syam dan sekitarnya
Dari kuffar yang meraja maya.
 
Dahulu engkau pernah berdarah
Saat tabien masih berjasa
Apabila penguasa mula tamakkan pangkat dan harta
Serta ingin sekali mewariskan takhta.

Dan engkau pernah parah berdarah
Bila Tatar muncul dan bebas meratah
Namun kerana bijaknya umara' dan ulama'
Di Ain Jalut mereka tersungkur rebah

SURIA, SYAM dan SYRIA
Tiga sebutan sebuah negara
Daerahmu wadah ahli ilmu
Dihuni wali dan para rabbani
Tanahmu jaminan nabi
Untuk ummat diakhir umur duniawi.

Dan kini..
Dimishq terus terluka dan parah
Rakyat menjadi korban
Lari dan terus kehilangan
Keluarga juga halaman
Dibunuh tanpa belas kasihan
Si kecil dan orang tua menjadi korban.

Duhai ummah!!!
Bangunlah dari tidur mu yang lena
Bangun menadah doa
Buat mereka...
Saudara kita seagama dan sejiwa
Pohonlah dengan penuh khusyuk dan padu
Kerana doamu yang satu
Adalah senjata ummah yang jitu
Pohonlah kehadiran Al-Ayyubi yang baru
Walau hadirnya ,
Masih samar dan belum tentu.

U.sulaim/u.zaharah.




Ahad, 18 Disember 2016

Iktibar dari sejuta niamat yang kita punya.

Di salin dari aplikasi whatsapp.

Cerpen: The Letter of Love~

Musim sejuk baru bermula di Belfast, Ireland. Pun begitu, sejuk sudah terasa hingga ke tulang sum sum. Aku memandang ke luar tingkap yang berkabus. Berharap mungkin aku akan melihat dia berlari menuju ke rumah ini. 3 bulan berpisah membuatkan aku rindu untuk bertemu dengannya.

 

 “Tahun depan tahun akhir kita kan?” Ziyad yang sedang berbaring meletakkan buku yang sedang dibacanya di dada.

“Hmm.” Aku menjawab tanpa memandangnya.

“Kau pulang ke negara kau ke cuti ni?”

“InsyaaAllah. ”

“Oh..” Ziyad bangun dari baringnya. “Aku ingat, aku pun mahu pulang.”

“Kau asal negara Arab mana sebenarnya? ” Aku bertanya. Meskipun hubungan kami sebilik dan hubungan kami agak akrab, namun dia tidak pernah menceritakan kepadaku tentang negara kelahirannya.

Dia tersenyum. “Rahsia.”

 

Aku mengeluh. Kini, segalanya sudah terjawab.  Surat yang terlipat kemas di tangan kubuka untuk ke sekian kalinya. Mataku mula menari-menari di atas baris-baris ayat yang tertulis kemas di atasnya. Warkah dari Ziyad El Shareff.

 

Ke hadapan Saudaraku Nasrullah yang disayangi kerana Allah,

 

Apa khabar sahabatku? Kau pasti tertanya-tanya mengapa aku masih belum tiba di bumi Ireland. Jawapannya, aku tidak akan terbang ke sana. Aku tidak akan menyambung pelajaranku. Aku ingin tinggal di tanah airku.

 

Aku pasti kau sudah mendengar berita tentang Gaza yang sedang di’bersih’kan oleh Israel. Ya, di situlah rumahku. Aku ialah anak palestin. Dan yang dibom oleh Israel itu ialah rumahku dan rumah jiran-jiranku. Yang mati dibom itu pula ialah saudara-saudaraku, jiran-jiranku dan teman-teman sepermainanku.

 

Aku akan bercerita tentang diriku yang selama ini aku rahsiakan daripadamu. Aku lahir dalam sebuah keluarga yang sangat bahagia. Aku mempunyai seorang ayah yang penyayang tetapi tegas, seorang ibu yang lemah-lembut dan seorang adik lelaki yang comel. Ayah ialah pejuang penting Hamas dan amat sibuk dengan perjuangannya. Namun, ayah tidak mengambil hak kami. Dalam kesempitan masa yang beliau ada, beliau tetap menyempatkan diri untuk mendengar celoteh-celoteh kami. Aku sangat menyayangi ayah.

 

Suatu hari, ayah memberitahu aku bahawa ayah akan mengikuti satu operasi yang berbahaya. “Jika ayah syahid, teruskanlah perjuangan ini. Jangan pernah walau sekalipun menyerahkan Palestin ke tangan Israel.” Itu pesan ayah kepadaku. Adikku, Zaid yang baru berusia 4 tahun bagai mengetahui bahawa itu kali terakhir kami melihat ayah. Dia memeluk lama ayah dan merengek-rengek tidak mahu melepaskannya. Dan keesokannya, kami menerima satu berita.

 

Ayahku syahid.

Tubuhnya hancur lebur dibom oleh Israel.

 

Adik yang tidak mengerti apa-apa, setiap hari bertanya:

“Bila ayah mahu pulang?” “Bila ayah mahu pulang?” “Bila ayah mahu pulang?”

Setiap kali bertanya, matanya memandang dengan penuh harap.

Adikku terlampau rindukan ayah. Setiap hari, dia menunggu ayah pulang. Padahal, aku sudah memberitahunya bahawa ayah sudah tiada.

 

Tetapi Allah berkuasa atas segala-galanya. Impian adik tercapai. Suatu hari, ketika aku baru pulang dari sekolah dengan keputusan peperiksaanku yang cemerlang, aku mendapati jasad ibu dan adik sudah terkulai tidak bernyawa. Rumah kami diceroboh. Dan Israel itu telah menyebabkan aku menjadi yatim-piatu dalam sekelip mata. Tanpa ucapan perpisahan, kedua-duanya pergi menyertai ayah di syurga. Aku tenggelam dalam kesedihan. Aku sudah tidak mempunyai sesiapa.

Seawal umur 11 tahun aku sudah tidak dapat merasa kasih sayang ayah dan ibu. Aku cemburu bila mendengar kau menghubungi ibu kau di rumah. Mendengar kau bergelak tawa dengan ibu kau di pagi raya. Aku cemburu melihat kau berskype dengan ayah tercinta di waktu lapang. Aku, sudah 10 tahun tidak mendengar suara ibu dan ayahku. 10 tahun aku membesar tanpa belaian kasih sayang daripada ibu dan ayah. Dan hakikatnya, hampir semua anak Palestin begitu. Kami tidak dapat merasakan apa yang kanak-kanak di seluruh dunia rasakan. Ibu bapa kami tiada ketika kami sakit. Ibu bapa kami tiada ketika kami menangis pilu. Ibu bapa kami tiada ketika kami ingin mengadu. Ibu bapa ka
mi tiada ketika kami berjaya dalam peperiksaan kami. Ketika kami begitu mendambakan perhatian dan kasih sayang. Mereka tiada.

 

Tahun yang sama juga, kami kehilangan ikon perjuangan Hamas. Syeikh Ahmad Yassin syahid dibom menggunakan helikopter Apache. 40 hari kemudian, Dr Abdul Aziz Ar-Rantisi menyusul.Bertimpa-timpa kesedihan yang aku rasakan.

 

Pada 27 Disember 2008, Israel melancarkan Operation Cast Lead, operasi ketenteraan selama 22 hari yang disifatkan antara serangan paling kejam dan ganas ke atas Gaza.Nasrullah, kau pernah bertanya: “Parut apa yang ada di belakang kau tu?” Ketika itu, aku hanya diam. Sebenarnya parut besar itu ialah parut bekas terkena serpihan yang dilepaskan oleh Israel laknatullah ketika operasi itu.. Akibat hadiah istimewa itu, aku terpaksa menjalani pembedahan tanpa bius. Aku menahan sakit yang amat setiap kali jarum ditusukkan ke dalam kulitku untuk menjahit kembali lukaku. Sakitnya tidak terungkap oleh kata-kata. Air mataku turun tidak henti-henti ketika itu. Tanpa ibu dan ayah di sisi, aku perlu melaluinya seorang diri. Dan ketika itu, aku mendengar jeritan kanak-kanak berumur 11 tahun di sebelahku. Bayangkan, kepalanya dijahit tanpa dibius! Pasti lebih menyakitkan. Dia menjerit-jerit memanggil ibunya. Namun, yang ada cuma doktor yang sedang merawatnya.

 

Hakikatnya, perkara itu telah dilalui oleh beribu-ribu kanak-kanak Palestin.Israel telah menghantar 200 jet pejuang ke ruang udara Gaza. Bom fosforus dan torpedo dilepaskan secara membuta-tuli. Beribu-ribu orang awam Palestin terbunuh, termasuk lebih 300 kanak-kanak dan remaja berumur bawah 18 tahun. Lebih 5,000 rakyat Palestin cedera akibat serangan Israel ini. Dan aku salah seorang daripadanya. Namun, luka di hatiku lebih parah daripada luka yang berdarah di tubuhku.

 

Otak bertaburan dan daging bersepai menghiasi jalan-jalan di Gaza. Di dinding, tertepek cebisan-cebisan daging dan darah  yang mula mengering. Tangisan dan jeritan kesedihan sudah menjadi irama wajib ketika itu. Yang mengejutkan, PBB tidak bertindak apa-apa. Kematian berlaku setiap hari tetapi Israel berjaya menutup mulut PBB. Kami merana tanpa pembelaan. Israel mengatakan mereka melancarkan roket dengan alasan untuk menjatuhkan HAMAS. 22 hari kami diserang bertali-arus. Bom fosforus yang mengenai rakyat Palestin menghancurluluhkan kulit dan daging sehingga yang tinggal hanya tulang-belulang. Jumlah yang tercedera terlalu ramai. Peralatan dan ubat-ubatan tidak mencukupi. Dan ujian buat kami, pada hari ketiga, bekalan elektrik terputus. Mesin-mesin perubatan yang menggunakan elektrik tidak dapat digunakan. Sedangkan pesawat tempur F-16 Israel masih berlegar-legar di langit Gaza.Ramaiyang tidak dapat diselamatkan.Namun, ketika keadaan yang meruncing itu, aku menarik nafas lega apabila mendengar pendirian pemimpin HAMAS yang mengatakan: “Kami akan mempertahankan Gaza dengan segenap kekuatan yang kami ada, sehinggalah kami terbunuh, sehinggalah kami dihancurkan.Gazatidak akan jatuh”. Dan aku juga kagum dengan Briged al-Qassam yang berjuang membalas serangan roket Israel dengan roket ciptaan mereka sendiri. Roket jarak jauh ciptaan mereka sedikit sebanyak menggerunkan Israel sehingga akhirnya serangan dihentikan.

 

Aku menarik nafas dalam-dalam sebelum meneruskan bacaan.

 

Sudah 6 dekad kami menderita. Ketika itu, aku tertanya-tanya. Kenapa PBB seakan-akan kehilangan kuasa? Kenapa pula berjuta-juta saudara Islam kami tidak bergerak membantu? Kenapa negara-negara Arab di sekeliling kami hanya merelakan kami dibantai sehingga mati? Adakah kalian tidak bergelora melihat kekejaman yang berlaku terhadap kami sehingga tiada satu kaum pun yang bangkit menyatakan kemarahan kerana Allah?

 

Pada tahun 2010, buat pertama kalinya, aku berasa amat gembira. Ketika itu, aku dan remaja-remaja Palestin yang lain tersenyum bahagia. Kerana ketika itu, kami mendengar bahawa kalian, saudara seislam kami bersatu dan datang ke Palestin untuk membantu. Namun, seperti yang dijangka, kemaraan kalian disekat. Aku turut menangis ketika mengetahui beberapa orang warga Turki terkorban di a
t
as kapal Marvi Marmara yang membawa bantuan untuk kami. Aku terharu dengan kesanggupan kalian bergadai nyawa demi kami. Kami berasa bangga mempunyai saudara seperti kalian.

 

Pada 18 Oktober 2011, tercatat dalam lipatan sejarah kejayaan yang besar dicapai oleh rakyat Palestin apabila komander Ahmad al-Jaabari, berjaya menukarganti Gilad Shalit yang ditawan pada Jun 2006 dengan 1027 tahanan Palestin. 1 orang dibalas dengan 1027 orang. Satu kejayaan yang besar yang telah dilakukan oleh Ahmad al-Jaabari, komander Briged al-Qassam setelah Komander Solah Syahadah syahid dibom pada tahun 2002 dan komander Muhammad Dheif cerdera parah dalam cubaan membunuh yang dilakukan oleh Israel. Ahmad al-Jaabari pernah dimasukkan ke dalam penjara selama belasan tahun  dan ketika itu beliau berjanji dengan beberapa orang tahanan Palestin yang beliau akan membebaskan mereka. 13 tahun kemudian iaitu pada tahun 2011, beliau mengotakan janjinya. Beliau membawa senarai nama tahanan yang hendak dibebaskan dan bertegas untuk menukar mereka dengan Gilad Shalit.. Pendirian beliau menyebabkan Israel tiada pilihan lalu membebaskan 1027  tahanan tersebut.

 

Namun, kegembiraan kami tidak lama. Beliau syahid pada 14 November 2012 dalam operasi ‘Operation Pillar of Defense’ yang dilancarkan oleh Israel. Beliau dibom semasa berada di dalam kenderaan beliau. Aku amat mengagumi beliau. Beliau berjaya melancarkan perang yang menghantui penjajah dan seluruh pasukan keselamatan dalam dan luar negara dengan kemampuan menyembunyikan Gilad Shalit.

 

Bumi Palestin ini amat istimewa bagi kami dan kami yakin bagi seluruh umat Islam juga. Masjidil Aqsa, kiblat pertama umat Islam berada di bumi ambiya’ ini. Aku berasa sedih kerana walaupun aku dilahirkan di sini, aku tidak dizinkan untuk memasuki Masjidil Aqsa kerana Israel telah menetapkan had umur tertentu untuk memasukinya. Aku pernah diheret keluar seperti anjing kerana cuba memasuki masjidil Aqsa secara senyap-senyap. Hingga sekarang, aku hanya dapat menatapnya dari jauh dengan rasa hiba. Sedih melihat masjid ketiga umat Islam itu dikotori oleh Yahudi. Lebih sedih kerana aku yang melihatnya tidak mampu berbuat apa-apa.

 

Nasrullah, aku teringat peristiwa yang tertulis dalam lembaran sejarah. Khalifah Umar al-Khattab dan tenteranya telah berjaya menawan semula Palestin ketika itu. Kunci kota al-Quds telah diserahkan oleh Nasrani Shefrinus ke tangan beliau. Namun, kerana kelemahan umat Islam, Baitul Maqdis jatuh ke tangan tentera salib pada tahun 1099. Hampir 90 tahun lamanya rakyat Palestin ditindas dan diperlakukan sesuka hati. Hingga pada tahun 1187, Palestin kembali ke tangan umat Islam dengan pimpinan Solahuddin al-Ayubi. Selepas itu, usaha-usaha untuk merampas semula Palestin telah dilakukan. Dan aku dirasuki rasa kagum yang amat apabila mendengar kesungguhan Khalifah Turki Uthmaniyah, Sultan Abdul Hamed yang kedua yang tegas mempertahankan kedaulatan Palestin. Baginda memilih untuk meninggalkan takhta pemerintahan untuk menjaga kedaulatan Palestin dan enggan menyerahkan walau sejengkal tanah Palestin ke tangan Yahudi.

 

Namun, Yahudi tidak pernah mengalah. Hingga akhirnya dengan kerjasama Barat, mereka berjaya menempatkan beberapa orang Yahudi di Palestin. Dengan jatuhnya khilafah Islam, perjanjian demi perjanjian, dan pertolongan Amerika, Perancis dan Britain, akhirnya tertubuhlah negara haram Israel pada 14 Mei 1948. Hati kami tergores luka.

 

Pada tahun 1987, 6 tahun sebelum aku dilahirkan, HAMAS yang digeruni oleh Yahudi telah ditubuhkan oleh Sheikh Ahmad Yassin dan rakan-rakan seperjuangannya. HAMAS ditakuti kerana di dalamnya terdapat ramai golongan terpelajar dan pemberani. Hingga kini, HAMAS tetap teguh berhadapan dengan Israel meskipun berbagai cara telah dilakukan oleh Israel untuk melumpuhkan gerakan mereka. Usaha untuk merencatkan gerakan HAMAS tidak berjaya meskipun Israel mempunyai senjata yang canggih.“

 

Sheikh Ahmad Yassin, Dr. Nizar Rayyan, Dr Abdul Aziz Ar-Rantisi, Solah Syahadah, Muhammad Dheif, Yahya Ayyash dan Aqil Imad ialah tokoh-tokoh yang memainkan peranan penting dal
am
HAMAS atau Briged al-Qassam (Sayap kanan HAMAS). Aku rasa aku tidak perlu memperkenalkan jasa mereka kerana Israel sendiri telah mengakui kehebatan mereka. Jika kau seorang yang prihatin dengan apa yang berlaku kepada kami, kau pasti mengenali mereka.

 

Bersama merekalah, ayahku berjuang hingga terbunuh syahid. Dan di antara mereka, ramai yang telah terkorban fi sabilillah.

 

Kepulanganku ke daerah Gaza disambut dengan suasana yang suram. Gaza seperti dilanggar todak. Jauh lebih dahsyat berbanding ketika aku meninggalkannya 3 tahun lalu. Cuti 3 bulan aku habiskan dengan menyertai training Briged al-Qassam. Aku berlatih berlawan dan menggunakan senjata. Ketika tempoh 3 bulan hampir tamat,kami diserang oleh tentera Israel. Beratus-ratus rakyat Palestin ditawan. Setiap hari, ada nyawa yang terkorban. Semuanya dilakukan oleh zionis Israel bagi melempiaskan kemarahan atas kehilangan 3 remaja mereka secara tiba-tiba. Kerana 3 orang pemuda, berpuluh-puluh sahabatku dibedil syahid. Kemudian, mereka menggelar kami pengganas. Patutkah begitu? Mereka menagih simpati dunia dengan kehilangan 3 pemuda mereka, namun bagaimana dengan beribu-ribu kanak-kanak dan pemuda kami yang telah dibunuh dengan kejam oleh mereka setiap tahun?Suasana ini menyebabkan aku tidak tenang untuk meninggalkan tanah airku. Aku tidak sanggup melihat kesengsaraan bangsaku. Biarlah aku tinggal di sini. Lagipun, aku diamanahkan oleh saudaraku untuk menjaga ibunya yang sudah tua. Satu-satunya saudaraku itu telah ditangkap oleh Israel seminggu setelah kehilangan 3 pemuda itu. Setiap hari, aku melihat air mata mengalir dari pipi ibu tuanya. Telingaku berasap setiap kali pihak Israel menceritakan kesedihan ibu bapa Gilad Sha’ar atau Naftali Frenkel. Bagaimana dengan tangisan ibu saudaraku ini?

 

Sahabat, sampaikanlah wasiatku kepada Farid dan sahabat-sahabat lain di sana. Bantulah keluarga kalian di sini. Bukankah kami ini ayah-ayah, ibu-ibu dan adik-adik kalian? Relakah kalian melihat jasad kami dirobek oleh peluru dan bom setiap hari? Di tanah bergejolak ini, berita kematian sudah biasa didengari. Semalam ada, hari ini sudah pergi menghadap Ilahi. Itu sudah menjadi lumrah di Palestin.

 

Buatlah sesuatu untuk kami. Jangan biarkan darah mujahidin yang gugur di bumi Palestin ini menjadi hujah menentang kalian atas kemalasan, kelalaian dan ketidakpedulian kalian.

 

“Seorang muslim merupakan saudara kepada muslim yang lain. Tidak  menzalimi, menghina dan enggan memberi pertolongan.” HR MUSLIM

 

“Sesiapa yang berpagi-pagi tanpa mengambil kisah urusan kaum Muslimin dia bukan dari kalangan mereka.”-HADIS=

 

 “Dan sekiranya mereka meminta pertolongan kalian (ketika mereka diserang) kerana Islam, hendaklah kalian sudi menolong mereka…”   ~Al-Anfal: 72~

 

Sabda Rasulullah SAW di dalam hadisnya; “Tidaklah seseorang itu dikatakan beriman selagi dia tidak menyayangi saudaranya (seislam), sebagaimana dia menyayangi dirinya sendiri.

 

“Orang mukmin dengan orang mukmin itu adalah seperti sebuah bangunan, menguatkan antara sebahagiannya dengan sebahagian yang lain, kemudian baginda menyelang kuat di antara jari-jari baginda,” –HR BUKHARI  

 

Apakah yang kalian ingin jawab di akhirat nanti jika kalian mengabaikan amanah Allah dan rasul? Apa jawapan kalian bila Allah tanya di mana perjuangan kalian? Di mana persaudaraan kalian?

 

Berasap telingaku mendengar kata-kata sebahagian umat Islam tentang boikot. Semua mencipta seribu alasan. Cukuplah! Jihad yang kecil ini pun kalian hendak berdolak-dalih lagi. Semuanya hendak bukti. Percaya sangat dengan kata-kata Amerika. Tidak cukupkah dengan senarai yang telah pun dikeluarkan oleh ulama’-ulama’ sedunia? Nas, kau tidak mempercayai ulama’kah? Aku sangat sedih bila mengetahui kemungkinan serpihan bom yang pernah tertanam di tubuhku ialah hasil ‘sumbangan ikhlas’ kalian. Padahal di Ireland, kalian mengatakan aku sahabat kalian kerana Allah. Setiap kali memikirkannya, air mataku akan mengalir. Aku menyayangi kalian semua. Kalian saudara-saudaraku, sahabat-sahabatku. Tetapi kalian rupanya yang telah membunuh ayah yang am
at
aku cintai. Ibu yang belum puas aku bermanja dengannya dan adik yang masih belum mengerti apa-apa. Kalian yang memusnahkan masa kecilku. Mengapa kalian berbuat begitu? Kenapa kalian sanggup mengorbankan nyawa orang-orang yang aku sayangi demi kesenangan hidup kalian?

 

Aku menggenggam kuat kertas di tangannya. Aku teresak perlahan. Apatah lagi apabila mataku dapat menangkap kesan air mata di baris itu. Air mata kekecewaan Ziyad.

 

“Kau beli apa tu?” Ziyad yang baru keluar dari bilik terus duduk di sebelah Farid. Aku dan Farid yang sedang menikmati burger Mc Donald dan minuman 7-Up terhenti.

 

“Makanlah.” Farid menghulurkan bahagian yang sengaja disimpan untuk Ziyad. Ketika itu, wajah Ziyad terus berubah. Mata lelaki itu berubah merah.

 

“Ziyad?” Aku menyentuh bahunya. Ziyad pantas menjarakkan diri. Dia bangun. “Kau… kau…” Suaranya bergetar. Matanya redup memandang kami. Kemudian, tanpa menghabiskan kata-katanya, dia keluar dari rumah sewa kami.

 

Ketika itu, aku tidak faham sebabnya. Baru sekarang aku memahaminya. Air mata kukesat dengan hujung jari. Namun, manik-manik jernih itu mengalir dengan lebih deras.

 

Israel kejam. Tetapi saudara yang menikam saudaranya lebih kejam! Saudara yang hanya membiarkan saudaranya dibantai lebih kejam! Pengkhianatan dan ketidakpedulian kalian lebih menyakitkan kami berbanding perlakuan Israel terhadap kami. Sanggup kalian berbuat begitu, saudaraku?

 

Akhir kalam, sebaris pesanan daripadaku, saudara seaqidah kalian. Selamatkanlah diri kalian dari pertanyaan Allah di akhirat nanti. Jangan pinggirkan kami. Sesungguhnya aku mencintai kalian kerana Allah. Kalau ditakdirkan aku mati sebelum dapat berjumpa kalian, aku ingin berjumpa kalian di syurga.

 

Salam perjuangan dan kasih sayang dari bumi berdarah Palestin.

 

Akhuka fil Islam,

Ziyad El Shareff

 

Aku melipat kembali surat itu. Air mata kubiarkan mengalir di pipi.

“Jangan mati, Ziyad.” Aku menggumam, lirih.

Dalam hati, aku berdoa agar Ziyad, sahabatku, selamat. Ziyad akan terbang ke Ireland untuk menyambung semula pelajarannya. Untuk bertemu denganku. Itu doaku.

 

“Nas, berita luar negara dah mula.” Pintu bilikku diketuk dari luar. Aku cepat-cepat bangun. Aku yang menyuruh Farid, teman serumahku agar memanggilku apabila berita luar negara sudah mula. Kami telah melanggan satu saluran khas yang dipercayai menyalurkan berita yang benar mengenai Palestin. Aku keluar dari bilik dan duduk di sebelah Farid. Mata kuarahkan ke kaca televisyen.

 

“…Seramai 200 orang rakyat Palestin ditangkap ketika beratus-ratus tentera Israel mamasuki Tebing Barat semalam. 5 orang telah dilaporkan terkorban di daerah itu…”

 

Ayat selepas itu hanya sayup-sayup kedengaran. Aku memfokuskan mata pada gambar di skrin. Meskipun sebentar, aku dapat melihat wajah mayat yang sedang diangkat oleh orang ramai itu.

Walaupun bahagian atas kepalanya pecah dan otaknya terburai, aku masih dapat mengenalinya.

“Nas, itu Ziyad kan?” Farid memandang aku dengan wajah kosong, tidak percaya. Aku mengangguk. Setitik. Dua titik. Air jernih jatuh dari tubir mataku. Aku terus memeluknya. Air mataku mengalir deras.

Ziyad syahid.

Sahabatku syahid.

Dia telah tiada.

“Nas? Ziyad…” Suara Farid bergetar menahan sebak di dada.

“Ya, Ziyad anak Palestin, Farid.” Dan aku dapat merasakan air hangat menitis di atas bahuku.

Harapanku berkecai. Aku tidak dapat berjumpa dengan Ziyad. Ziyad tidak mungkin dapat menyambung pelajarannya. Dia telah syahid.

“Ziyad, tak sabar betul kau nak masuk syurga ya?” Aku tersenyum dalam tangis. Dalam hati, aku bertekad untuk berubah. Palestin itu tanah airku juga. Dan rakyat palestin itu semua keluargaku. Aku tidak mahu darah Ziyad yang membasahi tanah Palestin menjadi saksi untuk menentangku di akhirat atas kelalaianku.

Selamatkanlah diri kalian dari pertanyaan Allah di akhirat nanti. Jangan pinggirkan kami. Sesungguhnya aku mencintai kalian kerana Allah. Kalau ditakdirkan aku mati sebelum dapat berjumpa kalian, aku ingin berjumpa kalian di syurga.

Tinta,

Hamba Rabbani :’

Khamis, 10 November 2016

Ujian itu indah.

Terkadang Allah beri kita ujian agar kita belajar untuk kembali menghargai apa yang telah kita miliki. Ada sinar sebenarnya walaupun selepas hujan dan ribut. Maha suci Allah diatas setiap ketentuan-Nya.

Sabtu, 24 September 2016

Hikmah dari sebuah ujian.

Bismillahirrahmanirrahim.

Bila Allah beri kita sakit,
Sebenarnya Dia beri kita ganjaran.
Sebenarnya Dia beri kita pengalaman.
Sebenarnya Dia anugerahkan kita kekuatan.
Dan bila Dia hadiahkan kita pengalaman, maka kita dapat berkongsi dengan yang lain tentang rahsia-rahsia Allah disebalik sebuah kehidupan.

(Dari aplikasi whatsaap)⬇

TENTANG SAKIT
Suatu hari Rasulullah  SAW didatangi seorang bapa dan anak gadisnya. Bapa tersebut meminta Rasulullah SAW untuk menikahi anak gadisnya dan mengatakan bahawa anak gadisnya merupakan anak yang sangat luar biasa dimana anaknya *sejak kecil sampai sekarang tidak pernah sakit*

Rasulullah SAW tersenyum dan beliau diberitahu oleh Malaikat Jibril untuk menolaknya kerana *tidak ada kebaikan* dalam diri anak gadis itu.

Sungguh luar biasa makna sakit itu,ternyata dengan datangnya penyakit pada diri kita itu mendatangkan berbagai kebaikan.
Bahkan sebahagian ulama mengatakan orang yang sedang sakit itu adalah sangat dicintai Allah...

Sakit kalau kita teladani dengan positif:

✅~ *Sakit itu "Zikrullah"*

Orang yang sedang sakit akan lebih sering menyebut Asma Allah dibandingkan ketika dalam sihatnya.

✅~ *Sakit itu "Istighfar"*

Orang yang sedang sakit akan teringat dosa-dosa yang pernah dilakukan sehingga lisan akan terbimbing untuk selalu beristighfar dan memohon keampunan dari Allah.

✅~ *Sakit itu "Tauhid"*

Bukankah saat sedang hebat rasa sakit, kalimat thoyyibah yang akan terus diungkapkan?

✅~ *Sakit itu "Muhasabah"*

Orang yang sedang sakit akan punya lebih banyak waktu untuk merenungi diri, menghitung-hitung bekal apa yang telah dikumpulkan untuk kembali menghadap Illahi.

✅~ *Sakit itu "Jihad"*

Orang yang sedang sakit tidak diperbolehkan hanya pasrah tetapi diwajibkan terus berusaha dan berikhtiar untuk mencapai kesembuhan.

✅~ *Sakit itu "Ilmu"*

Bukankah ketika sakit, kita akan memeriksa, berikhtiar dan pada akhirnya merawat diri agar ada ilmu untuk tidak mudah kena penyakit lagi.

✅~ *Sakit itu "Nasihat"*

Orang sakit mengingatkan yang sihat untuk jaga diri. Yang sihat menghibur yang sakit agar mahu bersabar.
Allah cinta dan sayang keduanya.

✅~ *Sakit itu "Silaturrahim"*

Saat jumpa, bukankah keluarga yang jarang bertemu akhirnya datang menjenguk dgn penuh senyum dan rindu mesra? Kerana itu pula sakit menjadi pengikat ukhuwah.

✅~ *Sakit itu "Penggugur Dosa"*

Orang yang sedang sakit sesungguhnya dia sedang dicintai sang Pencipta sekaligus sedang diberi ujian..tentu kalau diterima dengan sabar dan tawakal akan menggugurkan dosa-dosa.

✅~ *Sakit itu "Mustajab Do'a"*

Sesungguhnya do'a orang yang sedang sakit mustajab, maka saat kita menziarahi orang yang sakit disamping kita mendo'akan maka mintalah do'anya.
Imam As-Suyuthi  selalu mengelilingi kota mencari orang sakit lalu beliau minta dido'akan.

✅~ *Sakit itu salah satu keadaan yang "Menyulitkan Syaitan"*

Orang yang sedang sakit diajak maksiat tak mampu dan tak mahu. Dosa yang lalu disesali dan mohon keampunan.

✅~ *Sakit itu membuat "Sedikit tertawa dan banyak menangis"*

Satu sikap ke-Insaf-an yang disukai Nabi dan para makhluk langit.

✅~ *Sakit meningkatkan kualiti "Ibadah"*

Rukuk - Sujud lebih khusyuk,
Tasbih - Istighfar lebih sering,
Bermunajat - Do'a jadi lebih lama.

✅~ *Sakit itu memperbaiki "Akhlak"*

Kesombongan terkikis, sifat tamak dipaksa tunduk, peribadi dibiasakan santun, lembut dan tawadhu'.

✅~ Dan pada akhirnya *"SAKIT"* membawa kita untuk selalu ingat akan *"KEMATIAN"*

Jumaat, 29 Julai 2016

Berbekal menghadapi hari tua


Allah.Allah.Allah.
 Bismillahhirrahmanirrahim.

Bunga yang mekar akan layu jua akhirnya.Begitulah manusia yang muda akan menemui hari tua.

Tua, suatu waktu yang pasti, perjalanan akhir sebelum menghadapi ajal. Itupun jika Allah izinkan untuk terus menghirup udara dunia hingga ke penghujung usia lanjut. Kadangkala seseorang ditakdirkan menemui pencipta disaat usia yang masih muda.  Apa pun ketentuan Allah, menerima dengan hati yang redho akan menjadikan minda kita lebih tenang. 

Tua, kadangkala digeruni. Kulit menjadi kendur, mata kabur, gigi sudah berterabur sementara menanti panggilan kubur. Ya Allah, akhirilah kami dengan husnul khatimah. 

Adakala , kita merasa kasihan, melihat ibu atau bapa yang telah tua di tengking anak- anak. Di permainkan. Lebih menyedihkan, jika disia-siakan.
Marilah kita sama-sama bermuhasabah, sama-sama merenung, disamping menyiapkan bekal untuk usia senja dan pasti membawa kebaikkan ke alam baqa'.

Hakikatnya , bagaimana layanan orang lain terhadap kita ketika kita telah berusia ,adalah hasil tuaian layanan dan tindakkan kita ketika kita masih muda. Jesteru itu, berusahalah membenihkan kasih sayang dari ketika masih kuat bertenaga , agar buah belas dan kasih kita bisa petik ketika lumrah jasad sudah lemah tak terdaya dan bernama tua.

Kadangkala kita melihat seorang ibu tua termenung di birai katil. Entah apa yang di fikirkan. Seketika merenung kedalam diri, andai aku di tempatnya , apa yang akan ku menungkan. Sesekali berbisik ke dalam hati , alangkah baiknya kalau menungan yang panjang itu diganti dengan zikir. Allah....diri sendiri pun terlalu lemah dan lalai.  Tapi bergembiralah buat warga emas yang beriman. Kerana nabi Muhammad pernah menyebutkan bahawa Allah akan mudahkan hisab untuk orang- orang yang telah tua. MasyaAllah.... 

Mari renungi diri buat persediaan kemudian hari          

1. Niat. Dalam memberikan pendidikan terhadap anak- anak sentiasa betulkan niat. Lakukanlah semata- mata mencari redha Allah. Membina khalifah Allah.
Juga nyatakan hasrat yang betul terhadap anak- anak dan dalam setiap doa.
*Ayah ibu ingin anak-anak kelak jadi anak yang soleh dan solehah.
*Ayah ibu ingin anak-anak kelak berjaya dunia dan akhirat serta murah rezeki.
*Ayah ibu ingin anak- anak kelak berbakti pada ayah dan ibu bila kalian telah dewasa dan kami sudah tua dan uzur. 
Jangan merasa ego dengan mengatakan- ibu dan ayah tak mengharapkan apa-apa dari kalian . Cukuplah kalian dah berjaya.
Kerana kita tidak tahu di usia senja macam- macam yang boleh berlaku. Takdir Allah yang tidak kita tahu. Yang kaya bisa menjadi papa. Yang sihat dan kuat bisa menjadi sakit tak berupaya. Jesteru , disaat itu anak-anak adalah insan yang paling dekat dan patut berbakti. Oleh itu siap siaga kan niat dengan betul didalam setiap lafaz dan doa, kerana itu yang akan kita tuai diakhir usia. 

2. Sentuhan. Rupanya sentuhan amat bermakna dan berharga. Jika tidak, bagaimana tidak Rasulullah mencium dahi fatimah sewaktu ingin bermusafir dan pulang dari musafir. Jika tidak, bagaimana salam sesama muslim itu disyariatkan dengan berjabat tangan. Jika tidak, bagaimana dengan sunnah nya berpelukan selepas lama tidak berjumpa.
MasyaAllah, dengan sentuhan ada cas yang mengalir menghasilkan aliran kasih sayang dari naluri yang tersendiri. Jesteru itu, benihkanlah kasih sayang antara anak-anak dan saudara mara yang ada hubungan mahram atau  sesama jenis dengan kasih sayang yang ada sentuhan. Bukan semata-mata memewahkan mereka dengan harta semata-mata. Kerana ia akan menjauhkan batin mereka walau zahirnya mereka 
didepan mata. 
*seringlah memeluk dan mencium anak-anak yang masih kecil, kerana sentuhan ini akan menjinakkan hati mereka dengan kita.
* jika kita hanya memberi arahan tanpa ada sentuhan kita akan dapati liarnya jiwa mereka dari kita.

3.Elakkan terlalu obses pada sesuatu urusan dunia.Contohnya terlalu teliti dan berkira tentang makanan.Atau terlalu beria-ia dalam berpakaian dan berhias-hias. sikap yang tidak baik ini jika tidak diubah dari ketika muda akan berterusan hingga ke lanjut usia dan akan menjadi beban pada diri sendiri dan menjengkelkan orang lain ketika kita sudah lemah daya dan tenaga.Usahakan agar segalanya bersederhana dan mengikut jejak Baginda Sallallahualaihiwasallam.

4.Cari ilmu dan amalan zikir harian.

   Meskipun sekarang kita masih belum mampu untuk mengamalkan pelbagai zikir dan amalan yang kita cari dan kita perolehi dari guru2 yang diiktiraf, tapi suatu hari nanti akan sampai waktunya Allah akan anugerahkan kita masa bersendirian. Ketika anak2 sudah dewasa, kerjaya juga sudah stabil atau sudah ditinggalkan, maka itulah ruang untuk amalan yg telah kita cari itu. Seandainya ketika itu baru ingin mencari, ia agak sedikit terlambat walaupun begitu InsyaAllah tetap bermanfaat. 
Kenapa disebutkan sebagai agak terlambat? Kerana seringkali kita dengar mereka yang baru bersara, berhasrat mendalami ilmu agama setelah usia muda dihabiskan dengan bekerja tapi apakan daya, diwaktu usia bersaralah pelbagai penyakit mula atau sudah pun mendiami tubuh dan jasad.Jesteru itu carilah ilmu ketika masih sihat bertenaga . Usahakan memiliki amalan zikir dan aurad seawalnya buat bekalan harian kita.

Jika tubuh badan kita berikan pelbagai makanan dan suplimen supaya ia sihat, kenapa jiwa kita , tidak kita siapkan dengan suplimen zikir yang banyak agar ia tidak mudah dijangkiti bakteria penyakit hati juga tidak bisa dibolosi oleh makhluk-makhluk halus yang sentiasa mengintai peluang.

Mari bersama membina ketahanan diri zahir dan batin , jiwa dan jasad dengan ilmu dan amal.
Ikhlaskan niat, semoga bermanfaat.

Isnin, 11 April 2016

Hati-hati dengan pemberian.

Kadang-kala orang memberi penuh keikhlasan. Tapi ada-kala punya maksud yang tersirat. Malah dari hati yang telah diganggu syaitan dan penuh sifat hasad pemberian kadangkala disertai dengan sihir. Jadi hati-hati dengan pemberian terutamanya makanan . Ia bisa datang beserta sihir dan santau. Dan akan memudhoratkan dalam jangka masa yang panjang, dengan izin Allah jua. Makanlah dengan bismillah dan doa.Hati orang yang hasad tidak mengenal sahabat atau orang berpangkat. Hikmahnya, yang terbaik, makan makanan dari air tangan isteri solehah.