Rabu, 20 April 2022

Apa yang perlu kita tahu tentang saff.

Cerita Ramadhan sebelum hadirnya covid19. Kami berbuka puasa disebuah daerah. Singgah solat Isyak dan tarawih di sebuah masjid sebelum pulang. Ketika awal tarawih ramai jamaah termasuk muslimah. Hampir 2 saff yang panjang. Alhamdulillah. Bila sampai 8 rakaat ada yang beredar. Tinggal 1 setengah saff jamaah muslimah. Tiba-tiba semua jamaah yang berbaki disaff yang kedua semuanya beredar kearah kanan. Tinggal kami (saya dan seorang makcik yang solat diatas kerusi) ditengah-tengah saff .
 
"علي اليمين ، علي اليمين"
(Ke kanan-ke kanan)

Seorang wanita arab bercakap dengan suara yang agak kuat. 

"اليمين اولى"
(Kanan lebih baik)

Kami jadi serba salah. Apa yang kita tahu saff perlu dimulakan dari tengah agar seimbang. Tapi wanita tersebut tetap mahu semua jamaah saff kedua ke kanan. Ahli jamaah yang sudah berada dikanan memandang kami serentak. Tanpa mahu menimbulkan keresahan dan bising-bising terpaksalah turut berada disebelah kanan saff. Sedangkan ditengah dan kiri saff kosong sahaja.Kalau ia sebuah sampan pasti dah senget. 
Bagaimana sepatutnya saff  baru dimulakan ?Boleh rujuk link di bawah.


Bila solat jamaah, perkara yang paling diingati ialah bagaimana tegasnya guru kami ustazah Juwairah Abu Bakar dalam memastikan saff  puteri-puteri lurus dan rapat. 
"Jangan bagi renggang, nanti syaitan masuk celah-celah hampa"
"Bagi sama bahu"
"Tengok bahu kawan sebelah ,sama Ka dak"
"Jangan solat sorang-sorang di belakang saff yang penuh, kena cari teman"

Boleh rujuk link ini sebagai panduan memulakan saff baru.

Pesanan demi pesanan untuk setiap kali solat. 
Puteri-puteri MTI Derang pasti mengingati solat jamaah di masjid puteri sebagai satu kenangan yang sangat indah . 

Ketika kita diminta menjarakkan solat oleh pihak-pihak yang berkenaan ketika pendemik, kita patuh. Maka ketika kita dibenarkan merapatkan saff, berusahalah merapatkan nya semula. Bahu membahu menjadikan hati-hati mukmin saling bertaut. 
Covid19 kadangkala menjadi ujian tauhid kita. Sejauh mana gerunnya kita dengan makhluk berbanding dengan Pencipta makhluk . Bila pihak berkenaan mengatakan dah boleh rapat saff maka rapatkan. Dah boleh berziarah, maka ziarahlah dan bersilaturahim lah  Buang ketakutan bina keyakinan. Setelah segala S.O.P kita amalkan maka bertawakal lah , bahawa tiada yg memudaratkan kecuali dengan izin-Nya. 
Dari fasa sebelum pendemik hingga fasa endemik dan sampai bila-bila tetap hukum meluruskan dan merapatkan saf adalah sunnah yang sangat dituntut. Bahkan ada ulama yang mewajibkanya

Ibu-ibu. Jom ingatkan imam-imam muda dan imam kecil kita dirumah peri pentingnya menjaga saff solat berjamaah.

Selamat menempuh 10 terakhir Ramadhan. Semoga mendapat kebaikkan malam seribu bulan. 
 



Ahad, 17 April 2022

#Rayan, satu kehilangan yang memilukan dan sebuah kisah.



Bismillahirrahmanirrahim.

Seorang anak kecil bernama Rayyan tiba-tiba di sebut dunia setelah peristiwa yang mendebarkan  berlaku di sebuah desa kecil di Maghribi. Penantian demi penantian akhirnya membawa khabar pilu dengan pemergian si anak kecil walaupun telah berjaya diselamatkan. Begitu ketentuan takdir Allah yang maha Esa, Rayyan menanti di sana dengan syafaah untuk ibu bapanya. 

Masyarakat di Tarim biasanya bila mendengar tentang kematian anak kecil mereka akan menyebut (setelah menyebut Innalillahi wainna Ilahi rojiuon)
" Masya Allah, syafaah"

Kehilangan seketika Rayyan di dalam telaga  menyentap Nurani siapa sahaja yg bergelar ibu. Ujian yang sangat besar buat ibu dan ayahnya. Ia mengingatkan kami kepada kehilangan jejak seorang cucu saudara berusia 2 tahun lebih. Walaupun cuma hilang dari pandangan mata kasar dalam masa hampir 1 jam, keadaan sudah jadi kelam kabut. 

Ia berlaku kira-kira pukul 6.30 petang 25 January lalu. Ali yang berusia 2 tahun lebih tiba-tiba terlepas dari pandangan ketika bermain-main di hadapan rumah. Kelam kabut kami mencari. Kanak-kanak yang turut bermain di persekitaran juga mencari dan memanggil-manggil nama Ali. Maklong, mak ngah , Paksu juga turut kehulu dan kehilir. Umi dan ayah Ali apa lagi. Cemas. Ali masih tak dijumpai. 
Mencari di belakang rumah, store simpanan barang, meninjau di longkang besar, jiran yang baik hati turut keluar dengan motosikal nya ke jalanraya, mana tahu mungkin ada Ali disana. 
Panik. Pukul 7.00, Ali masih tak dijumpai hatta suaranya pun tak kedengaran. Pelik. Ali seorang anak yang ceria, jika ayah memanggil pasti pantas dia menyahut. 
Kasihan umi Ali yang tengah sarat, kehulu kehilir dengan genangan air mata mula bertakung. 
Seketika saya masuk ke dalam rumah, mandikan si kecil Salem, kawan sepermainan Ali. Sambil siapkan Salem terfikir-fikir , apa doa untuk cari barang yang hilang. Teringat dengan doa yang diajarkan Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam, lantas di baca berkali-kali sebanyak yang sempat. 
اللهم ياجامع الناس ليوم لا ريب فيه إجمع علي ضآلتي
(Saya baca إجمع علينا ضآلتنا kerana kami ramai-ramai mencari)

Selepas siap pakaikan Salem pakaian, cepat-cepat keluar semula. Jam menunjukkan lebih kurang 7.20 petang. Umi Ali masih dihadapan rumah. Mata merah hati risau.
" Tak jumpa lagi" katanya. 
Seketika terdengar Ali menangis.
"Betul ka suara Ali?" Hati berdetik. 
"Ha, Tu Ali"
Riuh rendah kanak-kanak yang ada disekeliling bila melihat ayah Ali tiba-tiba bawa Ali keluar dari belakang rumah. 
"MasyaAllah , pi mana la cek oi....oghang caghi meghata" Maklong, mak ngah pun ghisau X sangga😊
Lega perasaan umi Ali bila anak sudah dalam pelukan.
Anehnya, tempat Ali dijumpai itu sudah berapa kali dijengah, dipanggil namanya. Tak ada sesiapa pun nampak Ali disitu. Mak ngah jengah kesitu, Paksu dan kanak-kanak yang ramai pun dah cari Ali disitu. Ayah Ali apatah lagi. Wallahu Ta'ala a'alam apa yang melindungi. Sementelah hari sudah senja. 
Kehilangan jejak hampir 1 jam sahaja sudah menggetar kan jiwa seorang ibu. Betapa kehilangan yang nampak tapi tak tercapai untuk diselamatkan. MasyaAllah. kuat dan tenang nya jiwa seorang muslim bernama ibu dan ayah #Rayyan. 
Semoga setiap kisah menjadi ibrah dalam hidup kita. Tidak mutlak hanya sepotong doa itu yang membuatkan Ali dijumpai, tapi juga doa umi dan ayah Ali yang mengharap, doa jiran-jiran dan kanak-kanak yang turut sama mencari. Kerana doa adalah senjata seorang mukmin. 

#kisahRayyan. Betapa kita memahami nyawa seorang manusia amat berharga. Kerana seorang insan itu telah dilantik sebagai khalifah Allah. Jagalah khalifah-khalifah kecil kita. Semoga membesar dengan IMAN DAN TAQWA.

#qissahdanibrah
#Islamituindah
#serisurikehidupan


Dari luahan seorang guru Quran





Bismillahirrahmanirrahim

Seorang hamba Allah bercerita.

Ketika baru pulang dari timur tengah , hati bersemangat waja , ingin menggapai bintang sebagaimana kawan-kawan yang lain. Menjadi pendidik dalam mana-mana sekolah atau madrasah memang menjadi impian. Namun bila keutamaan perlu diberikan buat keluarga yang sedang membesar, niat dipendam dahulu.
Apabila ada jiran- jiran meminta untuk mengajar anak-anak mereka al-quran , maka kesempatan berharga tidak dilepaskan walau hati masih mengharap dapat mengajar di mana-mana madrasah.
Rupanya takdir telah menetapkan bahawa mengajar al-Quran adalah tugas nya.. Ia berterusan hingga ke hari ini.
Banyak perkara yang dia belajar dari tugas sebagai guru al-Quran anak2  di persekitaran kediaman.
Walaupun tidak dinafikan ramai orang yang mengharapkan gaji yang lumayan. Persekitaran dan kawan-kawan yang menghiburkan, tapi dengan mendekatkan diri dengan al-Quran setiap kali mengajar, ia sangat memberikan kesan pada hatinya.

Ya-Allah .... Betapa dia merasa ia adalah anugerah yang sangat berharga.

Setelah beberapa tahun mendampingi anak-anak kecil yang membaca iqra, juga al-Quran dan tajwid, hatinya semakin menghayati sabda nabi,
خيركم من تعلم القرآن وعلمه.
Sebaik-baik kalian ialah yang belajar al-Quran dan mengajarkannya.

Antara kesan yang sangat bermakna buat dirinya ialah
# jika kelas cuti,hati jadi rindu ingin untuk mengajarkan al-Quran.
#tidak lagi terasa berat untuk memperbanyakkan bacaan walaupun  hingga 4 muka sekali bacaan.
# terasa sepi jika tiada alunan al-Quran .
Sudah cukup memada jika dapat mendengar alunan walau dari aplikasi di talifon pintar.
..,.......................................

Dari cerita diatas dan berdasarkan
niamat-niamat yang dianugerahkan itu, tidak dapat lagi membohongi hati bahawa tugas guru iqra, muqaddam dan al-Quran  walau kadang-kala hanya dipandang rendah, tapi nilainya adalah sangat mulia disisi Allah.
Bayangkan betapa satu huruf dibaca= 1pahala. Betapa banyak ucapan huruf al-Quran yang keluar dari lidah seorang guru al-Quran setiap malam.

Jadi biar siapa pun kita, yang penting seorang muslim , belajarlah al-Quran dan ajarkanlah. Sekurang-kurangnya pada anak-anak sendiri.

Dengan mendampingi anak-anak kecil dan remaja yang datang belajar,kita dapat memahami banyak perkara tentang mereka. Memahami masaalah mereka dan menasihati dari hati ke hati. Kerana jarak membaca al-Quran dengan guru sangat dekat, InsyaAllah nasihat akan berkesan .La haula wala quwwata illa billah.

Kita  juga mendapati kebanyakkan pelajar sekolah menengah( tak termasuk sekolah agama ) tidak dapat menghafaz surah-surah lazim kecuali al-Fatihah  dan an-Nas . Ada juga yang mampu 3 surah sahaja termasuk al-Ikhlas.
Menyedihkan. Kerana dari 114 surah dalam al-Quran hanya 2 sahaja yang mampu dihafaz. Sedang pelbagai formula dapat diingat untuk menghadapi peperiksaan. Tak percaya? Cuba uji anak2 remaja disekeliling anda.

Namun kelebihan bagi anak-anak yang mendapat bimbingan penuh Kafa dan Upkk InsyaAllah dapat menghafaz  surah- surah lazim dengan baik.

Marilah memesrakan anak-anak dengan al-Quran bermula dari dalam buaian , dengan menunjukkan huruf- huruf hijaiah, mendengarkan audio al-Quran dari pelbagai aplikasi dan suara, atau lebih baik ibu dan ayah sendiri yang membacakan.Supaya ketika dihantar mengaji ketika berumur empat tahun atau lima , sekurang- kurangnya ustazah tak perlu lagi mengenalkan kepada anak kita alif ba ta.

Belajarlah al-Quran dan bacalah walaupun dalam keadaan YATATA'TA'. ( tergagap-gagap) kerana ganjarannya sangat besar.

Lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan yang mulia. 



Bagaimana kami membesar dengan jawi dan bahasa Arab.

.
Era pembelajaran makin mencabar. Kemuncaknya adalah dengan  pembelajaran dalam talian yang menjadi bualan dan keresahan. Benarlah sabda Nabi Muhammad sallallahu Alaihi Wasallam bahawa suatu hari nanti ilmu akan diangkat. Kita tidak dapat mencapai ilmu dengan sebebasnya. Sekalipun dapat diakses dalam talian ,tentu saja tidak sama seperti bersemuka dan bertalaqqi. 
Disini ingin saya kongsikan bagaimana kami anak-anak didik di Maahad Tarbiah Islamiah Derang MTID membesar dengan bahasa Arab dan jawi. (Tanpa menafikan kehebatan institusi pendidikan yang lain.) Kami diajar jawi dan bahasa Arab dari kecil dengan kaedah yang mudah. Satu demi satu. Pengulangan demi pengulangan. Sehingga anak-anak kecil tidak merasa berat dan terbeban. Dalam masa yang sama mengenal hukum dan akhlak menerusi kaedah membaca , menulis , mengulang dan menghafaz. Berulang-ulang. Kitab-kitab kecil untuk tahap satu dan 2 disusun oleh guru-guru yang dihormati. Antaranya adalah al-marhum Syeikh Niamat Yusuf al-Azhari , al-marhum Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam an-Nadwi dan al-marhum Syeikh Abu Bakar Awang Al-Baghdadi. Rupanya setelah meneliti kitab Taalimul mutaalim kita dapati kaedah penyusunan kitab tahap 1 dan 2 ini adalah sangat serasi dengan pesanan Imam Az-Zarnuji dalam kitab tersebut. Iaitu dengan kaedah memulakan pengajian dengan yang sedikit dan banyakkan mengulang sehingga dapat mengingatkan apa yang dipelajari. Kita boleh meneliti gambar-gambar dibawah  bagaimana pengulangan demi pengulangan di buat tanpa perlu meletakkan frasa yang panjang. Agar anak-anak kecil seawal 7 dan 8 tahun tidak merasa terbeban untuk belajar.
Kenapa kaedah ini di ketengahkan? Kerana sedih melihat anak tahun satu yang perlu menghadapi pembelajaran secara terpaksa. Tapi tetap perlu dihadapi. Mahu atau tidak. Tidak perlu lagi dihuraikan. Kerana telah ramai yang menulis tentangnya.
Semoga ada sinar baru untuk pendidikan anak-anak dimasa akan datang. Kerana sebagaimana canggih sekalipun teknologi, tetap fitrah seorang anak itu bermula perlahan-lahan dari menyusur, meniarap merangkak dan bertatih.Tidak ada yang boleh merubah agar dia boleh terus berlari dan melompat tanpa melalui fasa-fasa fitrahnya. 
Ya Allah. Tambahkan lah kami ilmu. Dan rezeki kan lah kefahaman.