Isnin, 10 Januari 2022

Catatan 2 minggu selepas haul syeikh Niamat yusuff yg ke-14.


Masih dibawah naungan kenangan.

Segala puji bagi Allah penentu setiap ketentuan.Selawat serta salam keatas nabi habiburrahman .                                  
أفضل الصلاة والسلام عليه وعلى آله

Sesungguhnya ibu bapalah yang paling berjasa kerana telah menempatkan kita di bumi Maahad yang tercinta. 

Kembali menghargai kenangan. Bila kita dialukan-alukan untuk kembali menghargai kenangan pada haul Syeikh Niamat Yusuf di Maahad Derang, dan setelahnya kita kembali ke tempat masing-masing, ternyata beberapa hari 
setelah itu kita masih di bawah naungan kenangan.Buktinya, masih berlegar di fb beberapa alumni dan pencinta Maahad beberapa gambar lama yang berkaitan dengan Derang. Tidak begitu mudah untuk dibiarkan berlalu begitu sahaja.Kerana taman kenangan itu terlalu luas dan indah. Tidak cukup dengan hanya 3 hari untuk kita hargai sepenuhnya.
Namun begitu 3 hari menghadiri Haul syeikh Niamat Yusuf terasa sangat berharga.Pastinya guru-guru juga akan tersenyum gembira melihat anak didiknya yang dahulu dihadapan mata siang dan malam kini kembali menjenguk muka.Biarpun mungkin kita pernah melukakan hati mereka, namun kebahagian dan kejayaan anak didik lebih beerti buat guru. Hakikatnya bagi sesiapa sahaja, jika masa boleh kembali diputarkan, kita tidak mahu lagi melukakan atau menyakiti hati sesiapa, lebih-lebih lagi seoarang guru. Namun takdir menentukan bahawa manusia itu lemah dan tidak sempurna. Memerlukan kemaafan dari orang lain dan pengampunan dari Azzawajalla. 

Maahad yang diasaskan almarhum Syeikh Niamat bersama pendokong-pendokong yang cintakan syiar Islam dimuka bumi ini sebenarnya memberi penuh makna kepada sesiapa sahaja yang pernah bergelar pelajar Maahad Tarbiyah Islamiyah Derang.

Sewaktu pertama kali mendengar alunan maulid di bumi Tarim, Yaman,  dada menjadi sebak dan rindu pada Maahad. Hati berbisik, inilah satu kesinambungan dengan Maahad , tempat kita belajar , di mana maulid dan burdah adalah satu kebiasaan. Kembali menghayati nasyid dan selawat alunan adik-adik thanawi putri di dewan al-Bukhari Mtid, menghadiahkan satu kemanisan yang mendalam pada mencintai baginda nabi yang sangat menganjurkan silaturrahim.
Ucapan ustazah Juwairiah tentang pentingnya kehadiran alumni ketika haul diadakan dan singkapan tentang masa lalu menggambarkan ustazah sangat menghargai kehadiran murid-muridnya. 
Hanya sehari dalam setahun untuk kita hargai guru-guru, begitu ingatan yang perlu kita titik beratkan. Ustazah turut mengingatkan tentang jasa ibunda makcik Bashah@ Basyariah , yang berdiri teguh di belakang suaminya Syeikh Niamat Yusuf dalam membangunkan maahad. Beliau juga merupakan guru al-Quran kami. Benarlah ungkapan yang menyebutkan , dibelakang setiap lelaki yang hebat ada wanita yang hebat.
Ustazah Juwairiah pasti dirindui puteri-puteri yang pernah bermukim disini. Ustazah yang mengajarkan kami al-Quran dan Tajwid dimana manfaatnya berkekalan hingga khiamah. Ustazah yang tegas dalam solat berjemaah dan maasurat.Ustazah yang akan menyusul dengan tegas puteri-puteri yang naik ke asrama tanpa membaca al-Quran selepas solat zohor. Maka akan berdentam-dentumlah lantai kayu asrama Saidatina khadijah bila pelajar berlari turun disusul ustazah dengan sebilah rotan. Namun ustazah sentiasa berkongsi rezekinya dengan anak-anak asrama. Benarlah kata orang, anda boleh dapati apa saja jenis buah dirumah tok guru. Begitu rezeki ustazah. Ada saja pelbagai jenis buah dirumahnya yang di hantar murid-murid beliau. Masih segar diingatan bila dipanggil ustazah makan cempedak bersama beberapa orang kawan diwaktu rehat. Balik ke kelas kami dimarahi guru yang masuk kerana tangan masih bau cempedak. Allah.... memori di maahad tidak pernah usang di ingatan. 
Turut berucap dimajlis alumni adalah ustazah Zaharah Abu Bakar. Mak usrah kami dahulu yang sangat cekal. Ustazah mengingatkan tentang kerja-kerja dakwah yang merupakan perjuangan yang perlu diteruskan. Adab dan amalan -amalan sunnah yang perlu diberi perhatian. Semangat juang ustazah tak pernah luntur. Ustazah yang meniupkan kecekalan dalam berdakwah.
فإذا فرغت فانصب ، ayat ini sentiasa terngiang-ngiang di ingatan. Ayat yang di sebutkan ustazah dalam usrah sewaktu thanawi dahulu. Kerja-kerja dakwah perlu berterusan tanpa mensia-siakan waktu. Apabila telah selesai satu kerja teruskan dengan kerja yang lain. 
Subhanallah. Maafkan kami wahai asatizah, sekiranya kami tidak sekuat, seikhlas dan sehebat kalian dalam perjuangan dengan pelbagai alasan dan kekangan. Tapi yang pasti kami yakin, kalian sentiasa mendoakan kami.
Bila melihat anak-anak remaja dengan pelbagai persembahan pada malam kesenian Islam, hati tumpang bangga dan gembira. Bahagia dengan manfaat masa remaja yang diisi dengan perkara- perkara baik dan berfaedah. Semoga kelunakkan suara dan keindahan zahir membawa kepada indah dan mulia hati yang berkekalan hingga akhir hayat. 

Sekalung ucapan tahniah buat tuan guru kita al-fadhil ustaz Abdul Majid Abu Bakar mudir am Maahad diatas kejayaan majlis haul dan himpunan alumni. Seminar pemikiran syeikh Niamat khasnya memberi ingatan yang amat berguna . Betapa syeikh Niamat sangat mengambil berat tentang ummah.
Meskipun ada yang tidak dapat menghadiri sepenuhnya program namun kita percaya segala bentuk program telah disusun atur dengan sebaiknya hasil kerjasama guru-guru , alumni, para pelajar dan seluruh warga Maahad  serta orang -orang perseorangan.

Sebenarnya kita bukan saja hadir untuk menghargai kenangan tapi sebaliknya kita turut dihargai. Anak-anak ustaz dan ustazah yang dulu sempat kita ajarkan qiraati ketika mereka masih kecil tetap menyapa kita dengan panggilan ustazah biarpun mereka sendiri telah menjadi ustaz dan ustazah. MasyaAllah, terasa benar diri dihargai.

Jasa guru tidak cukup untuk diungkapkan sekadar di laman muka buku. Kerana ia memerlukan ruang yang lebih luas dan lebar. Itupun tidak akan terbalas kecuali dengan ganjaran agung dari Allah azzawajalla. Terima kasih guru atas setiap baris dan huruf yang kau ajarkan. Terima kasih atas tiap langkah dan tindakan yang kau ta'dibkan.Terima kasih juga atas tiap ruku' dan sujud yang kau betulkan.

لو لا المربي ما عرفت ربي .

Semoga kalian diganjarkan syurga firdaus al-a'ala.
Juga terima kasih buat semua warga Mtid samaada tukang masak, tukang kebun,yang menjaga anak- anak guru di nuseri dan sesiapa sahaja yang menabur bakti buat Mtid.InsyaAllah setiap yang baik pasti akan di ganjari di dunia juga diakhirat.. Mohon maaf diatas segala kesilapan. Semoga bejumpa lagi di lain kesempatan. 

Kerana saya anak Maahad.

Noor Aisyah Ramli. 
Gmtid 10.