Isnin, 16 Oktober 2017

Syafaat

SYAFAAT-SYAFAAT NABI MUHAMMAD SALLALLAHU 'ALAIHI WASALLAM
Oleh : Ustaz Khafidz bin Soroni

Syafaat-Syafaat al-Habib صلى الله عليه وعلى آله وسلم

Al-Hafiz al-Sakhawi (رحمه الله) mencatatkan dalam kitabnya al-Qawl al-Badi' (h. 277-278):
Baginda SAW memiliki beberapa syafaat, iaitu:
1. Syafaat agung (al-syafa'ah al-'uzma) pada hari kiamat kelak bagi seluruh makhluk di padang Mahsyar, untuk Allah tunjukkan kepada mereka keadaan yang sedang mereka hadapi, agar dimulakan penghakiman. Dan inilah maqam terpuji (al-maqam al-mahmud) yang seluruh golongan awal dan akhir memuji baginda kerananya.
2. Syafaat untuk orang yang masuk syurga dari kalangan umatnya tanpa hisab.
3. Syafaat untuk kaum penderhaka yang masuk ke dalam neraka kerana dosa-dosa mereka, lalu mereka dikeluarkan.
4. Syafaat untuk kaum yang layak masuk ke dalam neraka, lalu mereka tidak jadi dimasukkan ke dalamnya.
5. Syafaat bagi kaum yang dihalang oleh kesalahan-kesalahan mereka untuk memasuki syurga.
6. Syafaat untuk kaum daripada ahli syurga bagi menaikkan darjat mereka, lalu diberi kepada setiap mereka apa yang layak baginya.
7. Syafaat untuk orang yang mati di Madinah al-Munawwarah.
8. Syafaat untuk orang yang menziarahi kubur baginda SAW.
9. Syafat untuk membuka pintu syurga, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim.
10. Syafaat untuk orang yang menjawab azan.
11. Syafaat untuk kaum dari kalangan kuffar yang pernah berkhidmat terhadap baginda SAW, atau pernah terbit daripada mereka satu bentuk khidmat terhadap hak baginda SAW, maka akan diringankan azab mereka dengan syafaat baginda SAW. (seperti Abu Talib)
Dua syafaat yang awal di atas adalah termasuk khasa'is (khususiyyat) baginda SAW. Manakala syafaat yang ke-4 dan ke-6 di atas, harus dikongsi juga oleh orang lain dari kalangan anbiya', ulama', dan awliya', menurut al-Nawawi dalam kitab al-Rawdhah. Syafaat pertama tadi tidak dibantah oleh seorangpun dari kalangan kumpulan-kumpulan umat Islam. Demikian juga tidak ada khilaf mengenai yang ke-6. Adapun yang ke-2, kaum Muktazilah mengkhususkannya bagi orang yang tiada tanggungan ke atasnya, dan mereka juga mengingkari yang ke-3. Akan tetapi, kedua-duanya telah disepakati oleh seluruh Ahlus Sunnah dalam menerimanya disebabkan kesabitan hadith-hadith yang banyak mengenainya. (tamat nukilan)
12. Orang yang cintakan Ahlul Bait (keluarga Nabi SAW).
Ini berdasarkan hadith yang berbunyi:
شفاعتي لامتي من أحب أهل بيتي وهم شيعتي
Terjemahan: "Syafaatku untuk umatku bagi orang yang cintakan Ahli Baitku, dan mereka adalah pengikutku". (Riwayat al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad (1/257) daripada Saidina 'Ali RA. Lihat: Kanz al-'Ummal, no. 34,179)
Suruhan mencintai Ahli Bait Nabi SAW adalah satu perkara yang sudah dimaklumi secara jelas daripada hadith-hadith sahih, dan tentunya hadith di atas dapat memberi sedikit motivasi lagi dalam mengamalkannya. Mengapa tidak, sedangkan Rasulullah SAW telah bersabda: (المرء مع من أحب), yang bermaksud, "Seseorang itu akan bersama siapa yang dicintainya".
13. Orang yang mengamalkan doa ini selepas setiap solat fardhu.
Disebut oleh al-Sakhawi dalam al-Qawl al-Badi' (h. 252) - mengenai berselawat selepas solat - sebuah hadith dari Abu Umamah RA yang berbunyi:
من دعا بهؤلاء الدعوات في دبر كل صلاة مكتوبة حلت له الشفاعة مني يوم القيامة: اللهم أعط محمدا الوسيلة واجعل في المصطفين محبته وفي العالمين درجته وفي المقربين داره
Terjemahan: "Barangsiapa yang berdoa dengan doa ini selepas setiap kali solat fardhu, halal baginya syafaat dariku pada hari kiamat kelak, iaitu: (اللهم أعط محمدا الوسيلة واجعل في المصطفين محبته وفي العالمين درجته وفي المقربين داره)". Kata beliau: Diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Kabir dan di dalam sanadnya ada Muttarih bin Yazid, seorang perawi da'if. al-Munziri juga memuatkan hadith ini di dalam kitabnya al-Targhib wa al-Tarhib (2/375) dengan lafaz tamridh (isyarat da'if).
14. Orang yang berselawat dengan selawat ini.
عن رويفع بن ثابت الأنصاري قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : من قال: اللهم صلِّ على محمَّد وأنْزِلْهُ المَقْعَدَ المُقَرَّبَ عندَك يومَ القيامةِ، وجبت له شفاعتي.
Terjemahan: Daripada Ruwaifi‘ bin Thabit al-Ansari katanya : Sabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa yang membaca: (اللهم صل على محمد وأنزله المقعد المقرب عندك يوم القيامة) wajib baginya syafaatku”.
Kata al-Sakhawi dalam al-Qawl al-Badi' (h. 65) : Diriwayatkan oleh al-Bazzar, Ibn Abi 'Asim, Ahmad bin Hanbal, Isma'il al-Qadhi, al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir (no. 4480) dan al-Mu‘jam al-Awsat (no. 3285, katanya: Bersendirian Ibn Lahi‘ah dalam meriwayatkannya), Ibn Basykuwal dalam al-Qurbah dan Ibn Abi al-Dunya dalam al-Du'a' dengan lafaz (المُقَرَّبَ عندَك في الجنة، حلت له شفاعتي يومَ القيامةِ), dan sebahagian isnad mereka adalah hasan, sebagaimana kata al-Munziri. (tamat nukilan)
Ulasan:
Sekiranya ada yang menyatakan bahawa semua riwayat ini da'if, namun sebagaimana yang ditaqrirkan oleh para muhaqqiqin dari kalangan ulama hadith bahawa hadith da'if dapat diamalkan dalam bab fadha'il (motivasi) dengan beberapa syarat, antaranya tidak beriktikad ianya sabit sahih daripada Nabi SAW tetapi beriktikad dalam mengamalkannya bagi tujuan berhati-hati (الاحتياط).
Maksudnya, makna yang terkandung dalam hadith tersebut diamalkan kerana berhati-hati agar kita tidak meninggalkan satu perkara yang kemungkinan diucapkan oleh baginda SAW, lalu ia menjadi satu kerugian buat kita, dan juga agar kita tidak menghalang diri sendiri dari mendapatkan kelebihannya di atas kemurahan dan kurniaan Allah SWT, lebih-lebih lagi jika makna hadith dikuatkan oleh banyak hadith-hadith sahih yang lain, atau selagi tidak meruntuhkan mana-mana hukum/nas yang sabit.
Wallahu a'lam.

Ya Allah, janganlah jadikan kami terhalang daripada syafaat Nabi-Mu...

Khamis, 5 Oktober 2017

Jangan lepaskan anak-anak itu

Kita akhiri tahun 1438 hijrah dengan 2 kali kedukaan. Pertama , perginya anak-anak tahfiz dengan cara yang memilukan. Kedua, berita duka yang mengejutkan, pelaku kejadian adalah anak-anak remaja yang juga sebaya mangsa-mangsa terbabit.

Kita lepaskan anak-anak tahfiz dengan redha kerana syurga InsyaAllah pasti buat mereka . Meskipun ada hiba yang tersimpan dalam dada namun ganjaran diatas kesabaran ibu bapa anak-anak ini, sudah tentu tidak akan Allah sia-siakan.

Kita, sebagai anggota masyarakat, alangkah baiknya jika di saat ini meninggalkan kata-kata yang tidak baik pada anak-anak remaja yang terlibat. "Maafkan mereka"kata dr Muhaya. Lagipun bukanlah sifat seorang mukmin orang yang suka mentohmah, mencaci-maki dan bercakap kotor.

Sebenarnya perlakuan mereka sudah menjadi satu hukuman yang cukup berat kepada ibubapa dan penjaga mereka. Malu dengan jiran tetangga juga saudara mara. Tertekan yang teramat sangat.

Namun jangan dilepaskan remaja-remaja pelaku kejadian. Sesekali jangan. Jangan lepaskan mereka dari doa kita, agar mereka bertaubat dan berubah. Buat ibu bapa dan penjaga mereka, jangan lepaskan anak-anak ini dari talian kasih sayang kalian. Peganglah dengan kuat.Agar dia tahu masih ada yang menyayangi. Agar dia tidak lagi mengulangi. Jangan dilepaskan sama sekali. Jangan dibuang terus tanpa kata . Jangan tidak lagi mengaku anak.
Beruntung, jika dilepaskan dengan agama yang kukuh, dia mampu membawa diri. Sekalipun dilambung gelombang ujian dia tidak akan hanyut. Namun jika dibuang tanpa agama yang kuat dia akan hanyut dibawa arus. Dia akan kalah dengan gelombang kehidupan. Dan akhirnya menjadi sampah dalam masyarakat. Teruslah memegang  mereka dengan talian kasih sayang  dan doa agar nanti dia mampu bertaut sekalipun ada arus dan ribut! Biar dia bangun semula,menebus kesilapan lampau.

Ya Allah, bantulah kami mendidik anak-anak dizaman fitnah ini.

Jom bantu anak-anak membesar dengan 3A
*Aqidah yang benar.
*Amalan solat 5 waktu yang tepat waktu.
*Adab dan doa dalam kehidupan harian.

Ahad, 20 Ogos 2017

Dilema kita , anak remaja dan media sosial.

KITA, ANAK REMAJA  dan media sosial.
**********************************

Sebenarnya bila anak-anak mula meningkat remaja, kita mula terasa kesan sosial di alam maya . Walaupun hakikatnya seorang dewasa akan tertarik hati melihat anak-anak remaja dan belia. Dengan erti kata kagum dan merasa masa remaja amat berharga. Punya wajah yang ceria dan menarik. Tenaga yang kuat dan gagah. Perwatakan yang menjadi perhatian. Inilah sepatutnya masa mereka isi dengan mencari ilmu sebanyaknya. Berbakti sebaiknya.
من فاته التعليم وقت شبابه
                   فكبر عليه اربعا لوفاته
Sesiapa yang terluput waktu untuk mencari ilmu ketika mudanya
Maka sudah layak di takbirkan 4 kali atas kematiannya.
(Ertinya orang yang tidak belajar ketika muda seolah-olah orang yang telah mati, kerana menimba ilmu di usia muda umpama mengukir di atas batu dan menimba ilmu ketika telah lanjut usia umpama mengukir diatas air. Kesannya sangat berbeza.)

Tapi syabab atau orang muda punya cabaran tersendiri
الشباب شعبة من الجنون
Masa muda sebahagian dari kegilaan.

Dengan peredaran zaman , remaja mempunyai pelbagai bentuk cabaran. Kadangkala remaja mampu menanganinya. Dan ada yang hanyut dengan cabaran zaman. Dibawa arus kemodenan. Menjadi rosak ditelan masa. Namun remaja yang dididik dengan ilmu , dididik dengan menghargai masa,dididik dengan tauhid yang jitu, dibelai dengan kasih sayang dan dibimbing penuh perhatian, insyAllah akan melalui usia emas ini dengan cemerlang. Usia emas bukan ketika tua. Tapi usia emas adalah sewaktu kuat bertenaga, punya masa terluang yang mampu diisi sempurna. Adalah sangat rugi dan bakal mengundang penyesalan sekiranya waktu muda tidak dimanfaatkan  sepenuhnya.

Seringkali, hati jadi sedih, melihat anak-anak muda yang sepatutnya mengisi masa dengan ilmu atau berbakti, dilihat banyak berbual kosong di jalanan. Menghabiskan masa dengan motorsikal dan gajet ditangan.
Lebih menyedihkan bila ada yang terlibat maksiat.Sudah tidak rasa berdosa. Berpasangan dari usia yang sangat mentah. Media sosial jadi penghubung jarak yang tiada lagi sekatan . Ikhtilat yang nyata tiada batas dan rasa malu. Bertegur sapa, usik mengusik lelaki dan wanita dikhalayak maya seolah dunia dia yang punya.
Innaillahiwainnailaihirajiuon . Sangat merbahaya. Terlalu merbahaya. Pintu fitnah yang telah terbuka seluasnya. Digunakan tanpa sebarang kawalan oleh mereka yang tidak kukuh agamanya akhirnya membawa kepada kehancuran maruah dan akhlak. Bahkan orang yang dalam didikan agama pun bisa terjebak dan terfitnah.
Allah.......

Aqidah yang murni adalah kunci pemeliharaan diri dari segala fitnah dan dosa. Bila seorang remaja merasa Allah itu Ada. Maha Melihat setiap tindakannya, pasti maksiat dia jauhi.

اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلاةَ إِنَّ الصَّلاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ
Artinya: “Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, yaitu Al Kitab (Al Qur’an) dan dirikanlah sholat. Sesungguhnya sholat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (sholat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadah-ibadah yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (QS.al‘Ankabut(29):45)

Jawapan yang cukup mudah untuk segala permasalahan yang ada. Kenapa pelbagai perkara buruk berlaku dalam hidup seseorang? Kerana tidak mengambil berat, mengabaikan atau lansung tidak solat.

الصلاة عماد الدين, فمن اقامها فقد اقام الدين ومن هدمها فقد هدم الدين. البيهقي
Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikannya maka dia telah menegakkan agama, dan barangsiapa yang merobohkanya maka dia telah merobohkan agama. Riwayat Baihaqi.

Kenapa berlaku keruntuhan akhlak? Kerana tiangnya tidak didirikan dengan betul. Atau didirikan tapi tidak berkualiti.
Dan antara kunci yang mampu menjauhi perkara maksiat adalah MALU. Tanpa rasa malu, iman jadi goyang.
الْحَيَاءُ مِنَ الْإِيْمِانِ
Dari Abu Hurairah berkata bahwa Rasulullah bersabda: “Dan rasa malu adalah sebagian dari iman.” (HR. Muttafaq ‘alaih)

عَنِ ابْنِ عُمَرَ رض قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ ص: َاْلحَيَاءُ وَ اْلاِيــْمَانُ قُرَنَاءُ جَمِيْعًا. فَاِذَا رُفِعَ اَحَدُهُمَا رُفِعَ اْلآخَرُ. الحاكم و الطبرانى من حديث ابن عباس
Dari Ibnu 'Umar RA, ia berkata : Rasulullah SAW bersabda : "Malu dan iman itu adalah selalu bersama, maka apabila hilang salah satunya hilang pula yang lain". [HR. Hakim, dan Thabarani meriwayatkan dari haditsnya Ibnu Abbas]

Semaikanlah rasa malu yang tebal dalam diri anak-anak gadis. Bahkan tidak rugi mendidik anak lelaki dengan rasa malu. Biar dia malu untuk punya pasangan di usia yang tidak sepatutnya. Walau mungkin akan diperlekehkan kawan-kawan.Agar dia menghargai insan berlainan jantina. Ajarkan rasa malu agar dia tidak memandang wajah yang bukan mahramnya. Kerana dari pandangan mata akan membawa turun ke hati.
لك الاولى ولا عليك الثانية
Bagimu pandangan yang pertama tapi tidak boleh mengulang pandangan yang kedua.

Begitu sabda nabi kepada anak muda yang bernama Fadhal apabila lalu seorang gadis dihadapan mereka.
Bagaimana dengan hari ini. Di media sosial, fb, insta, wechat dan lain-lain, penuh dengan warna-warni. Lelaki dan wanita. Muda dan remaja. Gadis dan belia. Pandangan anak-anak remaja kita sentiasa disana. Apakah akan selamat dari fitnah hati dengan sebab mata?
Ya Allah..... ampuni kelalaian kami.
Dulu, gambar perlu diminta untuk ditatap. Tak bagi tak dapat. Tapi sekarang hanya dengan muat turun dari talifon segala watak termuat untuk ditatap. Hati-hatilah anak-anak remaja ku . Bila memuat naik gambar ia bisa jadi punca fitnah. Ia bisa jadi punca sihir. Jika ingin juga berkongsi, (aplikasi semakin canggih,dan kita mampu mengawalnya) kongsikan dengan sahabat sejantina sudah memadai. Kongsikan dengan ibubapa itu yang paling utama. Namun anak-anak remaja licik dan bijak. Sembunyikan apa yang dimuatnaik dari pandangan ibubapa. Tapi tidak dengan rakan-rakan berlainan jantina. Demi pujian, demi sanjungan. Ingatlah sekalipun boleh di 'Hide' kan dari ibu dan ayah, apakah kita mampu 'Hide' kan nya dari pandangan Allah yang maha Melihat.? Sedang setiap detik malaikat di kiri dan kanan mencatat.

Sebagai ibu bapa kita juga berperanan. Jangan sampai tidak tahu apa-apa dengan teknologi yang ada. Memberi dan percaya bulat-bulat dengan anak remaja. Memberi dan membiarkan dia sewenang-wenangnya menggunakan aplikasi yang ada. Sama-samalah kita pantau fb, insta dan wechat milik anak-anak remaja. Tak mustahil kita akan temui banyak perkara yang mengejutkan. Tentu kita bukan ibu yang tak kisah anak-anak gadis kita diusik dengan kata-kata tidak baik dikhalayak maya. Tentu kita bukan ayah yang dayus membiarkan anak-anak gadis bergambar dengan sesiapa sahaja lelaki tanpa rasa berdosa. Semua itu mungkin bukan dalam sangkaan kita. Namun anda jangan menyangka anak kita suci sempurna. Kerana pengaruh yang sangat kuat dari kawan-kawan dan teknologi yang ada bisa menukar kucing jadi buaya. Yang dahulunya jinak boleh bertukar liar tanpa disangka. Pantau lah wahai ibu ayah. Kalau tidak tahu, tanyakan kepada yang arif. Jangan sampai nasi menjadi bubur dan bubur dah menjadi basi baru kita menyedari.
Ketika itu air mata pun dah tak mampu mengalir lagi.

Namun jika anak-anak remaja kita memuat naik yang baik-baik sahaja, syukur alhamdulillah.Tapi pantauan tetap perlu.Terasa sangat kagum dengan seorang cikgu yang tidak membenarkan anak lelakinya mempunyai sebarang akaun sosial, Fb dan sebagainya kecuali setelah berumur 17 tahun. Dan anak itu begitu patuh hatta tidak memiliki talifon pintar sekalipun. Sekurang-kurangnya umur 17 tahun sudah memiliki sedikit kematangan dalam bertindak.

Dalam kekalutan, kekusutan dan kekeruhan ada ketenangan, kelapangan dan kejernihan. Dalam kesedihan hati melihat kecelaruan akhlak anak-anak remaja disekeliling, ada kedamaian pada ketika melihat wajah-wajah jernih anak-anak remaja di madrasah ilmu. Wajah mulus dan bersih remaja dan anak muda penghafaz al-Quran di Maahad tahfizul Quran. Kagum dengan anak muda yang tetap menjaga solat dan berpekerti mulia meskipun di kelilingi cabaran yang hebat di mana-mana sahaja. Sayangilah dan hargailah anak muda dan remaja yang menjadi harapan bangsa.

Marilah bersama, jaga aqidah anak-anak kita, jaga solat mereka, tanam rasa malu, cintai Allah dan Rasul. Semoga kita dan anak-anak, benar-benar khalifah Allah di muka bumi.

(الشباب والأمل) عنوان محاضرة اليوم لفضيلة الدكتور الشيخ بسام عجك "حفظه الله".

أهم محاور المحاضرة:
١- سل نفسك دائماً: كم من الخلق سينجو بسببك من نار جهنم؟.
٢- كان أغلب أصحاب النبي صلى الله عليه وسلم الذين ناصروه وأيدوه ونشروا الإسلام في أصقاع الأرض من الشباب.
٣- المطلوب منكم اليوم هو طلب العلم النافع والتخلق بالأخلاق الفاضلة وبهذا تنصرون قضايا أمتكم.
٤- اعملوا لنراكم مستقبلاً في أعلى المراتب.
٥- عليكم بصحبة الصالحين، وإياكم وصحبة الأشرار والأراذل والفجار....
٦- رغم كل الضعف والوهن الذي تمر به الأمة تذكروا أنكم الأمل...، فإياكم واليأس، فإن اليأس كفر.
Cnp

(Pemuda dan harapan) tajuk ceramah  yang berbahagia doktor Bassam I'jik hafizahullah.

Antara isi penting ceramah tersebut:
1. Selalulah bertanya dirimu: berapa ramaikah manusia yang akan selamat dari api neraka jahannam dengan asbab dirimu?
2. Kebanyakan dari para sahabat nabi sallallahalaihiwasallam yang menolong dan membantunya dalam menyebarkan dakwah ke seluruh pelusuk dunia adalah dari kalangan pemuda.
3. Kalian dituntut hari ini untuk mencari ilmu dan berakhlak dengan akhlak yang terpuji kerana dengan inilah kalian akan membantu kedudukan ummat kalian.
4. Beramal lah, nescaya kalian kelak akan berada pada kedudukan yang tinggi.
5. Hendaklah kalian bersahabat dengan orang-orang yang soleh.
Dan jauhkan diri dari bersahabat dengan orang-orang yang jahat , keji buruk sikapnya.
6. Biarpun betapa lemah dan sakitnya ummat, namun ingatlah bahawa kalianlah harapan.Jangan sesekali berputus asa, kerana berputus asa adalah satu kekufuran

#Maaf_catatan_panjang.
#tolong_doakan_saya_juga.
#Inspirasi_ibu_anak_remaja.🙂

Isnin, 24 Julai 2017

Medan mujahadah


Di medan mujahadah.

Ku ingin lari
Dari musuh hati
Tapi tak terdaya kerana medannya disini.
Didalam hati.

Terasa amat terlelah
Berdepan segerombolan hawa
Bertopeng riyak, berpedang ujub berkuda suma'h.
Ternyata semakin ia menghampiri
Tanpa dapat ku jauhi
Terpaksa ku depani
Kerana medannya  disini
Didalam sekeping hati.

Segala hawa dan
mazmumah
Tentera musuh menyerang hati
Yang perlu kita tentang
Yang perlu kita hadap
Bersama tentera mujahadah
Dengan senjata zikrullah
Agar peperangan di medan hati
Kitalah  juara menjadi panglima
Di medan hati sendiri.
Agar bunga2 mahmudah kembali mekar mengharumi.

المجاهد من جاهد هواه

 sabar dari melakukan maksiat adalah sangat berat. Kerana hati itu kan sentiasa di uji.

........................................................



Khamis, 13 April 2017

Bicara cinta.


Dimana ada cinta disitu ada kasihNya
Kenal cinta para wali kepada tuhannya dari rasa cinta makhluk kepada makhluk.

Bila cahaya cinta memenuhi minda
Segala cahaya yg lain menjadi sirna
Dan tidak nampak.

Bila cinta pada Allah memenuhi hati
Hanya sinar keagunganNya yang kita lihat.
Walau apa jua musibah yg menimpa.

Cinta Majnun pada Laila menghilangkan nikmat lapar dan dahaga, Kecintaan para wali pada Allah menghilangkan segala niamat dunia. Padanya dunia menjadi tak berharga. Tidak berdukacita walau diambil Yang tersayang. Tidak terasa kehabisan walau harta di sedekahkan. Kerana dengan cinta Allah telah mengenyangkan dia dari segalanya.



Bila majnun mendambakan saat pertemuan. Setiap saat dihitung terasa lambat , Tapi makhluk yang hatinya terikat Cinta Allah yg maha kudrat , Juga merindukan saat pertemuan . Berbicara bersama tanpa gangguan. Disaat malam yang kelam, Ketika dalam mimpi manusia tenggelam, Itulah saat istimewa, Seorang hamba dan tuhannya, Mabuk , tenggelam dan karam dengan kasih sayang Ar-Rahman. Luas tak bertepi Tinggi tak terdaki. Hanya yang hanyut dalam cinta-Nya akan sentiasa merindui saat berbicara dengan Rabnya.

Nyanyian cinta kita hanya satu, bicara merdu dari al-Quran, menenangkan jiwa, menguatkan hati.

Laila, Bila hatinya diserahkan pada kekasih, dia tahu, dia tidak akan disakiti, dia akan selalu disayangi, akan selalu dijaga dari segala petaka.
Maka , para kekasih Allah bila hatinya sepenuh jiwa raga pada Allah, sepenuh hati dia yakini,bahawa Yang Maha Pengasih tentu tidak akan sesekali meminggirkannya, tidak akan sesekali menjauhinya kerana Dia lebih dekat dengan kita daripada urat leher, dekat yang teramat dekat. Kerana itu para wali tidak gusar ,tidak bimbang dibumi mana pun dia berpijak tetap kasih sayang ar-Rahman, dia rasa dan dia genggam.

Bila laila terasa dihargai , dengan pemberian dari sang kekasih, apakah kita tidak  begitu , sedangkan betapa anugerahNya begitu merata, begitu mewah ?
Kerana cinta dihati kita belum semewah cinta para wali , maka seorang hamba kadangkala sukar menghargai pemberian Allah penuh rahmat dan niamat.
Kerana cinta hati kita tidak sekukuh cinta kekasih Allah, maka kita tidak merasa betapa cintanya Allah pada kita, dengan berbagai pemberian yang amat bermakna.


Cinta jadi pemacu. Pendorong dan penggalak. Bila diri terasa disayangi langkah kaki bagai berlari. Cinta didunia memacu diri mencanai kehidupan, mencapai kejayaan tapi cinta Allah memandu hati menggandakan amalan buat kehidupan setelah kematian.
Jesteru, mari bina cinta hati kita kepada Allah dengan menanam cinta buat kekasih Allah. Rasulullah sallallahualaihiwasallam.
اللهم صل وسلم عليه وعلى آله

Pada tanah kg Tengah.




Pada tanah kg Tengah

(Dedikasi sempena haul syeikh Niamat Yusuf 1438/2017).

Pada tanah kg Tengah
Maahad  Derang terdiri sudah
Dari keringat lampau yang tabah
Gagasan Syeikh Niamat dan pendokong ummah
Penuh ujian dan hikmah
Buat generasi membangun penuh himmah

Di tanah kg Tengah
Kami dididik mengenal Allah
Mencintai nabi mengamal sunnah
Menjejaki langkah para sahabah
Terbina di atas landasan
ahli sunnah wal jamaah.

Derang dan kg Tengah
Menjejak ke wadi mu penuh memori
Antara murid dan juga murabbi
Antara sahabat dan teman sendiri
Juga sungai yang memotivasi diri
Dengan arusnya yang terus mengaliri
Kg Tengah dan seluruh wadi.

Ditanah kg Tengah
Kami belajar menyemai cinta
Pada ilmu , ulama dan auliya
Kami diterap menjaga adab
Menyanjungi guru memuliakan sahabat.

Guru dan maahad
Setiap dari titisan keringatmu
Yang menitis kerana memberi ilmu
Adalah mutiara bernilai tinggi
Ganjaran agung kan kau perolehi
Disisi Allah rabbul izzati
Keikhlasan mu tidak terperi
Betapa engkau ingin terus memberi
Seribu hikmah yang kau miliki
Sebagai kunci dikemudian hari
Untuk kami terus mencari
Gedung-gedung ilmu di pelusuk dunia ini

Tiada kata untuk digambarkan
Betapa engkau sangat dihargai

Pada tanah kampung Tengah
Ingatan rindu sentiasa bercambah
Moga Derang kekal di imarah
Dengan ilmu , adab dan hikmah
Hingga tiba nya saat bernama khiyamah

Alumni mtid.

Rabu, 29 Mac 2017

Pada Mu sekeping hati.



Pada Mu sekeping hati.

Ku serahkan pada-Mu sekeping hati
Untuk Kau bentuk dengan qudrah-Mu
Agar ia kuat berdepan ujian
Kerana tiada bagiku upaya
Selain  doa dan secebis usaha

Pada -Mu ku serahkan sekeping hati
Milik hamba yang penuh dosa
Terasa malu tidak terkata
Saat ku pasrah dan redha
Sekeping hati mohon Engkau jaga.

Ya Allah.
Sekeping hati mohon Engkau jaga
Dari tergelincir ke lembah noda
Walau setitik tompok hitam jua
Kesannya adalah selamanya
Selagi taubat belum kau terima.

Ya Rahim
Sekeping hati moga Kau kuatkan
Dengan iman dan ketaqwaan
Agar kelak
Ketika disisi Engkau ku dikembalikan
Benar-benar aku adalah
Seorang hamba ar-Rahman.

Wahai yang membolak-balikkan hati
Tetapkanlah hatiku diatas jalan agama-Mu dan terus mentaati-Mu.

Selasa, 21 Mac 2017

Baghdad yang ku impi




Bismillahirrahmanirrahim.

Ketika di Mtid(Maahad Tarbiyah Islamiyah Derang)  Allahyarham ustaz Abu Bakar Awang sering bercerita tentang Baghdad. Tempat beliau menuntut ilmu. Dengan kepakaran ustaz Abu Bakar dalam bidang Ilmu Faraidh , fiqh muamalat dan lain-lain lagi , menimbulkan rasa teruja untuk lebih mengetahui tentang Baghdad. Namun hari demi hari, berita-berita tentang Baghdad penuh kesedihan.
Apalagi yang ada pada Baghdad kini.?Apa lagi yang indah pada Mousul dan Tikrit? Hilang segala kegemilangan lampau. Adakah masih ada asar Junaid al-baghdadi,
Atau keilmuan dan kehebatan abdul Qadir al - jailani ? Di mana pergi nya gedung-gedung ilmu tinggalan Harun ar-Rashid ,Khalifah yang sering mendampingi ulama seperti fudhail ibnu iyadh? Apa lagi yang masih tersisa pada Baghdad
.
Tajuk : Baghdad yang ku impi.

Suatu ketika
Seorang teman bertanya
Dimana ingin kau jejaki
Jika takdir izinkan kau pergi
Menimba ilmu dan membina peribadi.
Pantas di hati dan lidah terucap
Baghdad impian yang tercatat
Dari saat sejarahnya ku kenal
Dan dari detik gahnya tercanai.

Baghdad itu dahulu
Ulama' dan walinya ternama berhemah
Tamadun ilmunya penuh wibawa dan haibah
Pentadbiran khilafah gagah dan penuh rahmah
binaan dan kota menyerlah megah.
Bumi Abbasiyah makmur sejahtera
Khalifah silih ganti rakyatnya bahagia
Harun ar-Rasyid gahnya sedunia
Apa digenggamannya terbahagi sempurna
Menjana ilmu membina bangsa
Melahirkan cendiakawan,usahawan dan dermawan.

Namun mentari kekadang pudar cahaya
Tika dilanda saat-saat gerhana
Baghdad  yang agung hancur binasa
Bila Tatar hadir melanda
Membunuh tanpa belas dan rasa
Pengkhiatan Alqami menjadi punca
Baghdad bagai dilanda Garuda
Dialah si Syiah yang tamakkan kuasa.
Furat dan Dajlah menjadi saksi
Darah muslim mengalir pergi
Bersama arus dan dakwat hitam
Kitab , buku dan kalam ditenggelam
Musuh berpesta siang dan malam.

Baghdad itu kini.....
Ia kembali bermandi darah
Dalangnya pasti ketawa megah
Melihat Muslim saling khianah
 Ada terzalim hartanya punah
Jiwa dan darah menjadi murah
Akhirnya Baghdadku tidak lagi indah dan gagah.

Hanya pada Allah ku berserah
Moga wangian khilafah mengharum kembali
Suria yang sirna terang menerangi
Dan impiku untuk hadir kesisi
Kota Baghdad yang agung akan jadi realiti.

Nukilan
ummu Zaharah.
2015

Selasa, 28 Februari 2017

Iktibar dari sebuah kematian


gambar sumber :google

Iktibar dari sebuah kematian.

Ya Allah. Seketika , kehilangan orang-orang tersayang secara mengejut dan dalam jarak waktu yang dekat memang menyedihkan. Namun begitu yang masih hidup , perlu mengambil ibrah dari sebuah kehilangan, bahawa mati itu pasti.

Jesteru, dalam kita mengindahkan, menyempurnakan dan menyiapkan sebuah kehidupan peruntukan lah masa yang lebih berkualiti untuk persediaan hari yang pasti iaitu mati. Sedangkan yang kita cuba indahkan, cuba kita sempurnakan itu nanti bukan milik kita kecuali anak yang soleh, amalan yang baik, harta yang disedekahkan dan ilmu yang bermanfaat.

Menyedihkan, bila kita melihat pada hari kematian, masih ada yang tidak mengambil iktibar dari kematian. Menunggu jenazah di mandikan , azan zohor , atau asar namun ada yang tidak melaksanakan solat hingga berakhir waktunya. Kematian dihadapan mata, tapi hati mati untuk mengambil ibrah. ALLAH.....
Berita kematian yang kita terima, menyentap kelazatan niamat dunia. Kerana itu kita sering diperingatkan agar sentiasa mengingati mati. Niamat dunia hanya sementara. Dunia ini hina kecuali orang-orang yang sentiasa mengingati Allah.

Jesteru, kenapa kita berlumba-lumba mengindahkan dunia dan merendahkan orang lain?
Ziarahilah kubur , kerana ia akan mengingatkan kalian tentang kematian. Itulah sabda Junjungan sallallahualaihiwasallam.

Cukuplah mati itu sebagai penasihat, begitu kalam sahabat , saidina Omar radhiallahuanhu.

YANG PASTI MATI ADALAH SATU KEMESTIAN UNTUK SETIAP ORANG SEBAGAI PINTU UNTUK BERTEMU ALLAH. BERSEDIAKAH KITA?

gambar sumber google.

Sabtu, 25 Februari 2017

Fastabiqul khairat

Hari ini ketika mengunjungi kedai Istiqamah yang terletak dihadapan sek agama Daris sp, ada 2 ibrah yang saya perolehi.

1. Sewaktu nak bayar harga barang rm 26.80. Saya hulurkan wang  rm27.00, baru nak cakap, "simpan baki dik," adik tu terus cakap "26.00 dah  kak," baki seringgit dia kembalikan. MasyaAllah! Dalam orang berlumba mengumpul keuntungan dunia, ramai lagi masih berlumba untuk keuntungan disana.

2. Terlihat seorang anak muda  segak dan bergaya , dengan raga ditangan. Dihadapannya seorang ibu yang sudah berusia, dengan tongkat dikiri dan kanan . Si ibu mencari barang2 dan memenuhkan raga. Anak muda akur mengikut, sampai raga penuh. MasyAllah! Tenang wajah si anak muda , tiada riak marah, tak senang atau menyampah. Begitu taat dia mengikut ibunya kesini-sana. Semoga Allah memberkati anak-anak muda dan sesiapa jua yang mentaati ibu bapa lebih-lebih lagi ketika mereka sudah lemah upaya.

Begitulah serinya hidup bila agama jadi paksi. 😅

Ahad, 19 Februari 2017

Puisi hati buat bayi yang tak berdosa.



Tajuk : Jangan buang bayi itu.

Ya Allah
Aku adalah seorang ibu
Yang kini hati dipenuhi pilu
Melihat bayi keci yang tak berdosa
Di buang dan ditiadakan belbagai cara.

Ya Allah
Aku adalah seorang ibu
Terbayang selalu tubuh kecil yang kaku
Ada di sungai atau tempat najis lalu
Bagaimana si kecil menahan sendu
Sedang air dan sampah ditelan dalam keliru
Dan akhir hayatnya terhenti disitu.

Ya Allah 
Betapa teganya mereka
Anak kecil yang tak berupaya
Melangkah apalagi berkata-kata
Dijadikan santapan haiwan berbisa
Meraung tak terdaya
Namun dibunuh bondanya jua.

Kenapa tidak izinkan seketika
Si kecil menghirup udara dunia
Biar puas dan memberi cinta
Kelak senyumannya bawa bahagia
Dan tawanya penghapus luka.

Andai kau tak terdaya
Memberi dakapan kasih sempurna
Ramai insan yang masih damba
Bayi  kecil itu sebagai cahaya
Buat jiwa dan hati mereka
Dan kelak kau di usia tua
Trauma dan sesal bukan teman setia.
  
Bayi comel itu bukan bahan buangan
Juga bukan sebarang haiwan
Tapi lahir dari 9 bulan kandungan
Dia adalah amanah Tuhan
Khalifah Allah juga bakal pimpinan
Jika dididik dengan penuh iman
Dan dibelai penuh kasih sayang.

Ya Allah
Kami ini kaum ibu
Terus merayu dan merintih pada-Mu
Agar kau bimbinglah pemimpin dan diri kami
Dalam mendidik anak-anak gadis dan memberi ilmu
Menyemai tauhid yang jitu dan padu
Membenih akhlak dan rasa malu
Agar tidak dia jadi keliru
Antara fitrah dan nafsu melulu
Dan tidak ada lagi yang berlagu pilu
“ JANGAN BUANG BAYI ITU”.!!!
ALLAH…………………………………………  


 ummu zaharah.
bumi bertuah Malaysia.
2015