Isnin, 13 April 2026

Sang saka digital, antara adab, kesempatan dan penghargaan.

Suatu hari di Aidilfitri, sewaktu jalan-jalan ziarah, terlihat di hadapan sebuah rumah dua orang anak yg telah dewasa berehat bersama ibu yang telah berusia. Masing-masing bersandar di kerusi, namun kedua-dua anak tersebut ralit dengan talifon ditangan, sementara ibu tua hanya termenung sendirian. 

Ya, ada detik hati yang terasa. Apakah kita bila telah melangkah menjadi warga emas, situasi serupa akan kita hadap? 
Seorang umi yang ingin belajar dari situasi, agar dapat dijadikan pengajaran. 

Bila pulang ke kampung, ziarah ibu dan ayah, atau saudara mara: 

# kita cuba sedayanya untuk tidak memegang talifon ketika dihadapan keduanya kecuali jika ada hal yang penting. 

#Tidak sama sekali bercakap dengan mereka sambil menatap skrin talifon  . 

# Talifon biar saja didalam handbag dengan bunyi dinyaringkan. Jika ada urusan penting, orang akan hubungi kita. Kalau sekadar whatsapp, atau mesej, masih banyak waktu untuk kita balas. 

#Begitu juga ketika makan. Tiada " tatapan skrin sama sekali diwaktu makan" Apatah lagi anak-anak. ( suami memang sangat tegas dalam hal ni) 
" Tutup TV jika nak makan"
"Tutup talifon dulu baru makan"

#Jika ziarah saudara mara atau kawan-kawan, pesan siap-siap pada anak-anak, biar talifon dalam beg, Bukan nak rugi juta-juta pun kalau tinggal sekejap. ( Kalau anak kecil yang masih belum faham arahan tu, masih boleh dimaafkan, bimbang mengamuk kat rumah orang 😅) 
Alhamdulillah, Anak-anak yang dah besar faham dan mengerti, waktu ziarah adalah waktu silaturahim, tatapan skrin boleh dilakukan nanti. 

Semua ini, sebenarnya kita lakukan bukan untuk orang lain. Tapi untuk diri sendiri. 

الجزاء من جنس العمل
Balasan yang kita dapat adalah berdasarkan apa yang pernah kita buat. 

كما تدين تدان
Sebagaimana kamu lakukan begitulah kamu akan diperlakukan. 

Jadi, apa yang umi harapkan ialah bila umi berusaha menghargai ibu ayah dan orang lain, Insya-Allah begitulah yang akan Allah beri pada umi daripada anak-anak umi khasnya

Talifon ditangan dengan jaringan media yang meluas sebenarnya kini telah menjadi SANG SAKA DIGITAL pada ramai orang. Tidak dapat berenggang, tidak dapat menjauh, tidak dapat tinggal lama. Semakin hari semakin sebati menjadi daging dalam diri. 

Ya, Seolah-olah seperti jin yang mendampingi, yang disebut sebagai SAKA. 

Lepas solat, capai talifon, sambil makan mata melekat di talifon , sambil memandu pun masih membelek talifon, nak tidur, tertidur dengan  skrin yang masih menyala. Tidak kah kita merasa ia adalah penyakit yang membarah dalam diri.? 

Tanya diri sendiri, sakitkan aku? Akan semakin parah atau ada usaha untuk berubah? 

Ia tidak mudah untuk mula berenggang. Kecuali dengan usaha dan kesedaran diri. Perlahan-lahan. Menjauh dan mengatur waktu, kerana kadang-kadang yang kita skroll terlalu banyak itu amat sedikit manfaatnya untuk iman dan hati. 
Jangan lupa untuk panjatkan doa agar penyakit tanpa sakit ini dapat disembuhkan dan dijauhi. 

Teknologi yang bermanfaat untuk diri bila di gunakan dengan penuh adab dan menghargai. Hargai ibu bapa, hargai pasangan. Hargai anak-anak. 

Bila berbicara dengan ibu dan ayah, pastikan bukan skrin yang kita tatap tapi wajah mereka

Bila berbicara dengan pasangan, jangan hanya menjadi batu buat loncatan, di sisi dia yang banyak berkorban. 

Apatah lagi bila berbicara dengan anak-anak yang sangat perlukan perhatian.
Sentuhan dan gurauan memberi kesan yang baik dan akan kekal dalam ingatan. Semoga kita semua dalam bimbingan Allahurrahman. 

Jangan biar SANG SAKA DIGITAL MERAGUT  KEBAHAGIAAN ANDA DALAM KEHIDUPAN. 

# serisurikehidupan
#ibarahdanqissah. 












Ahad, 1 Februari 2026

catatan buat seorang puteri, cahaya pertama ayah dan umi.

*Buat anaknda Sarah* 


Penghuni pertama rahim umi, permata hati pertama buat seorang ayah. 

Perjalan hidup seorang anak kecil bernama Sarah bermula dengan kelahiran di bumi barakah. Seiyun Hadhramaut Yaman. Di hospital Majmaul Wadi. Ketika azan subuh berkumandang. 

Ketika itu kelahiran disambut ayah dan umi tanpa saudara mara. Kerana jauh merantau ke Yaman mencari ilmu pengetahuan. Yg ada bersama membantu dan memberi semangat ketika itu adalah Kak Sarah dan suaminya ustaz Azhar. 
Juga sahabat-sahabat dari Malaysia yg turut sama belajar disana, senang sekali meraikan kelahiran anak Malaysia pertama yang dilahirkan setelah pembukaan Darul Mustafa yang baru . 

Tarikh 28/3/2001 bersamaan 14 Muharram  ( tarikh kemasukkan Imam Muhajir ke Hadhramaut) adalah detik bermulanya kehidupan alam dunia puteri umi dan ayah. 

Walaupun tanpa saudara mara, namun jiran-jiran di Tarim sgt istimewa. Membantu dan menziarahi. 
Bayi kecil Sarah, mengajar umi dan ayah kekuatan untuk sabar, kekuatan untuk saling berkorban. Belajar untuk menjadi seorang umi dan seorang ayah. 
Rezeki di bumi para wali, Sayyid Muhammad al-Haddad kenalkan ayah dengan Habib Abdullah bin Syihab untuk ditahnikkan kerana Habib Omar ketika itu bermusafir ke Malaysia. 
Dan Sarah dipilih namanya oleh Habib Abu Bakar bin syeikh Abu Bakar bin Salim. 
Juga ditahnik  beliau serta Syeikh Khalid dari Iraq. 

Membesarnya Sarah setelah pulang ke Malaysia di kelilingi saudara mara yang sangat mengambil berat. 
Kemudian nya tumbuh sebagai kakak sulung yang banyak membantu umi dan ayah dalam menjaga adik-adik yang masih kecil. 

Ketika remaja puteri umi ayah banyak menghabiskan masa di madrasah, sebagai penghafaz Al Quran (Maahad Tahfiz an-Nur)dan juga belajar kitab-kitab ilmiah.(Madrasah al-imanianiah Addalawiyah) 
Tidak terhingga penghargaan, buat guru-guru yang telah mendidik. 

Dalam masa berjauhan, mungkin saja ada kekurangan perhatian dan kasih-sayang. Namun hakikatnya doa umi dan ayah sentiasa bersama. 

Kini. Anaknda umi dan ayah telah memasuki satu alam baru. Alam rumah tangga. Menjadi lebih dewasa dengan gelaran isteri kepada seorang suami. 
Tiada ucapan terbaik melainkan doa dan harapan agar Allah memberkati kehidupan kalian berdua sebagai suami dan isteri. 
Saling belajar dan saling memahami , saling menghormati dan saling menghargai. Sentiasa berkasih sayang dan terus berjalan di atas jalan-jalan yang diredhai Allah yang Maha pengasih. 

Hidup ini sebenarnya penuh dengan seri. Cuma sesekali Allah menguji , menjadikan kita lebih kuat untuk menghadapi. 

Begitulah alam rumah tangga, akan penuh dengan seri dan gelak ketawa. Namun adakalanya Allah sisipkan ujian supaya kita tidak alpa bahawa dunia ini cuma sementara. 

Ketika ujian menimpa, berpautlah terus pada Yang Esa, dengan doa dan solat malam, merayu pada-Nya merintih belas dan kasih, maka engkau sesekali tidak akan disia-sia. 

Jaga lah rahsia rumahtangga, kerana iblis sangat bijak dalam merencana. Mencari ruang agar Adam dan Hawa bersengketa. 
Jika perlukan ruang untuk meluah rasa dan meminta panduan dalam rumah tangga,umi dan ayah disini ada. Sentiasa membantu sekadar terdaya. 
Sebagaimana Rasulullah, sentiasa menerima luahan rasa Puteri baginda, Fatimah az-zahra. 

Suami, sesusuk tubuh yang menjadi amanah Allah untuk seorang isteri, yang perlu dihormati dan dihargai. 
(Dengan pelbagai pesan) 
- Jadilah baginya bumi, Insya-Allah dia akan menaungi mu umpama langit
- Elakkan merasa sentiasa betul, walaupun dia salah. Cari masa dan cara yg paling harmoni untuk menerangkan keadaan yg sebenar. 
- Bila mula tercetus bibit pertelagahan, segera hentikan agar tidak berpanjangan. 
Ada waktunya, huraikan kekeliruan dgn penuh hormat dan kasih sayang. 
-Hargai keluarga suami seperti kita menghargai keluarga sendiri. 
-keizinan dia dalam semua perkara insya-Allah ada barakah dalam kehidupan yang sementara ini. 
DLL PESAN... 

Juga isteri, yang Allah amanahkan pada seorang suami untuk dilindungi dan disayangi. 
(Dengan pelbagai pesan) 
-Bina keluarga dengan asas kasih sayang dan rahmat, pasti bahagia dunia akhirat. 
-Bimbing dia dengan belas dan lemah lembut, kerana dia tulang rusuk yg bengkok. Akan patah jika terlalu keras dan akan terus bengkok jika tidak dibetulkan. 
-Hatinya halus dan tulus, buat mengasihi zuriat anugerah Allah yg maha Quddus. 
Semakin seorang suami menghargai dan menyayangi, semakin kuat seorang isteri akan berbakti. 
- Dia meninggalkan keluarga untuk bersama seorang yang asing baginya, maka hargailah keluarga nya, sebagaimana engkau menghargai keluarga mu.
Kerana tangki jiwa seorang isteri akan sentiasa penuh jika suami selalu membawanya menziarahi orang- orang yg dia kasihi. Bila tangki jiwanya penuh, maka dia akan kuat berjuang untuk sebuah rumah tangga yang bahagia. 
DLL PESAN... 

Dan suatu perkara yang sangat perlu diperhatikan oleh setiap pasangan adalah penggunaan handphone. 
*Letak phone jika pasangan  bercakap dengan kita. 
*Letak phone ketika makan dan tidak menggunakan nya kecuali pada perkara yang betul-betul penting. 

Pasangan adalah teman perjuangan dalam kehidupan. Menghargai hati dan perasaan nya, adalah penguat ikatan kasih sayang. 
Dengan niat kerana Allah, bina tawaduk dalam diri, sekalipun kita ada sesuatu kelebihan berbanding pasangan kita. Kerana orang yang bertawaduk akan ditinggikan darjatnya di sisi Allah. 

Buat Syed Arif Jamalullail, ahlan wasahlan, menjadi sebahagian dari ahli keluarga kami. Dan terima kasih menjadikan kami sebahagian dari keluarga kalian. 

Akhir pesan... 
Hiduplah kalian dengan panduan Al-Quran dan kalam dari Rasul pilihan,juga bimbingan dari guru-guru yang diutamakan. Semoga keberkatan berpanjangan dalam kehidupan, melahirkan zuriat soleh dan solehah penerus generasi beriman diakhir zaman. 

بارك الله لكما وبارك عليكما وجمع بينكما في خير.. 

- UMI DAN AYAH YANG AKAN SENTIASA MENYAYANGI.. 


cerita Ogos.

CERITA OGOS YANG LALU. 

Bismillahirrahmanirrahim. 

Bila tiba bulan Ogos, pihak sekolah akan mengadakan pelbagai aktiviti untuk menyambut hari kebangsaan. 

Nurul Asma' 9 tahun, balik dari sekolah . 

Asma' : umi, Asma' nak masuk sajak. 

Umi : Baguih - baguih... Nanti umi buat sajak kat Asma'. 

Asma' : (Muka tak percaya) Umi buat? 

umi: Ya la. Umi buat. Masa kat sekolah dulu kalau ada orang nak bersajak atas pentas depa sughuh umi buat sajak kat depa. (Ayat penyata) 😄. ( sebenarnya bukan ramai orang pun. Seorang dua ja) 

Asma': Ya... Ka.... (Muka tak percaya dan ragu-ragu. 

Umi : Tak pa. Kita cari dulu. Kalau tak ada umi buat. 

Cuba Google, sambungan Internet pulak lambat. Akhirnya jam 5 pagi umi bangun karang sendiri. 

Alhamdulillah Asma' suka. Gigih berlatih dan hafaz. 
Berjaya dalam saringan dan terpilih dalam 5 peserta terbaik untuk buat persembahan akhir. 

Di hari pertandingan Nurul Asma' berjaya dapat tempat ke 3. Alhamdulillah. Walaupun bukan tempat pertama tapi ia adalah satu semangat dan keberanian. 

Terima kasih pada pihak guru-guru Sekolah Rendah agama Daris. Semoga pertandingan bina diri patriotik sebegini dapat di perbanyakkan lagi. 

Ada ka yang sudi baca sajak umi☺? 

*PADA TANAH WARISAN BANGSA*

PADA TANAH WARISAN BANGSA
PAHLAWAN BERKORBAN JIWA DAN RAGA
DEMI MENJAGA AGAMA
DEMI KEHORMATAN NEGARA. 

PADA TANAH WARISAN BANGSA
HARGA MERDEKA TINGGI NILAINYA
TERBAYAR DENGAN NYAWA
TERGADAI DENGAN HARTA. 

BANGKITLAH.. 
WAHAI JIWA BANGSA NEGARA MERDEKA
USAH BIAR TERJAJAH SEMULA
KERANA LAUNGAN MERDEKA
TELAH LAMA BERGEMA

MERDEKA
BUKAN HANYA DENGAN TARIAN DAN NYANYIAN
TAPI TEGUHNYA PEGANGAN IMAN
TANPA DIJAJAH NAFSU DAN SYAITAN
BEBAS DIRI DARI HASUTAN. 

WAHAI PEWARIS TANAH WARISAN BANGSA
31 OGOS 1957
TARIKH KERAMAT NEGARA MALAYSIA LAUNGAN MERDEKA GAGAH BERGEMA

AYUHLAH!!! 
PAHATKAN DIDALAM JIWA
ISLAM AGAMA KITA
ALQURAN PANDUAN SEMASA
PASTI.. 
TANAH MERDEKA .. 
AKAN KEKAL SEJAHTERA. 

TAKBIR!!!! الله اكبر. 


#suriserikehidupan
#ibrahdanqissah


Sabtu, 23 Ogos 2025

Seorang junior yang "Masturah".


Bismillahirrahmanirrahim  

Mengenali seorang adik ini, Junior kami di Maahad Tarbiah Islamiah Derang adalah juga setelah mengenali kakaknya yang merupakan sahabat sekelas dari peringkat rendah hingga Kelas Tafaqquh. 

Sekalipun tidak terlalu rapat sebagaimana kawan-kawan yang tinggal di asrama, tapi hubungan mahabbah antara junior dan senior di MTID sgt kuat. Jumpa dimana-mana saja seolah jumpa ahli keluarga sendiri. 

Saya menulis tentang kak cik Mastura disini bukan kerana rapat dengan nya. Tapi kerana setelah pemergiannya, ramai saudari-saudari yang mengenali kakcik menulis tentang kebaikkan kak cik terhadap mereka. 

Beberapa tahun sebelum PKP saya bertanya kepada kak caq Farahiyah Sobri, dengan siapa saya boleh belajar Al Quran secara mendalam dari segi makhraj dan sebagainya. 

Kak caq menyarankan adik nya Kak cik  Masturah. Kerana kakcik antara pelajar-pelajar Syria yang mengambil sanad bacaan dari masyaikh di Syria. 
Kebetulan kediaman Kakcik tak jauh dari rumah kami. 

Alhamdulillah, ilmu kak cik dapat kami manfaatkan . Saya dan seorang lagi sahabat Irwani Yusuf mengatur beberapa kelas pengajian bermula dengan tahsin Fatihah, program khas Ramadhan dengan tajuk " Dampingi Mukjizat" hingga kelas mingguan pengajian Al Quran. 

Kakcik memberi komitmen penuh walaupun kelas-kelas terakhir ahli pengajian semakin kurang. 

Program terhenti kerana kehadiran ahli pengajian yang mendadak turun akibat Covid-19. 

"Kak akan tetap mengaji dengan kak cik walaupun orang lain tak ada"
Saya mohon izin dari kak cik untuk talaqqi sendirian di kediaman nya. Saya hadir ke rumah Kak cik setiap pagi Rabu. 

Hinggalah kakcik memaklumkan tentang kesihatan nya. Kelas terpaksa di hentikan.Cuma sesekali saya hadir ziarah melihat keadaan kak cik. 

Dan petang Ahad lalu,ketika sedang mengajar anak-anak kecil di rumah ngaji, Wani hantar mesej" Dah tengok ka dalam group ? Kak cik dah tiada. "

Hati tersentak, tiada terkata apa-apa selain ungkapan Tarjie'. 
Innalillahi wainnailaihi rojiun.

Terbayang anak kecil yang mendampingi ketika kami mengaji, terbayang wajah Abbudy yang manis tersenyum, Segalanya meruntun hati. 

Dan kelmarin, ketika hadir ziarah, berteleku seketika di hadapan jenazah kak cik yang lengkap dan kemas berbalut kafan, menghadirkan rasa hiba yang teramat dengan limpahan air mata yang tak dapat lagi ditahan. Beberapa saat sahaja sebelum diangkat dengan pengusungan, dihadapan seorang junior juga seorang guru. 

Dia bukan hanya seorang "Masturah"(yang tersembunyi dan terlindung) tidak suka mempamer gambar peribadi di status whatsapp apalagi media sosial sebagaimana namanya, tapi dia juga adalah seorang guru Al Quran buat kakak-kakak dan makcik-makcik  kawasan sg petani dan Pinang Tunggal. Hanya ketika dia tiada, kebaikkan nya baru menjadi sebutan. 

Solat jenazah kak cik diimamkan oleh suaminya sendiri, ustaz Solah. Dengan doa dan suara yang menyentuh jiwa. 

Semoga Allah menempatkan kakcik Masturah Harisin Sobri   bersama para solihin dan ahli Al Quran. 
أعظم الله اجركم 
Buat keluarga yang ditinggalkan. 

# qissahdanibrah. 
#Alquranitucahaya

Jumaat, 4 April 2025

Pesan Buat puteri bakal bidadari dihati suami


Perkahwinan adalah satu sunnah anjuran Rasulullah. Melaksanakannya adalah menyempurnakan sepertiga agama. 
Suami dan isteri adalah individu yang diciptakan untuk saling melengkapi kekurangan masing-masing. 
Perkahwinan jadi indah bila ia dilaksanakan atas tujuan taat dan patuh pada perintah Allah. Berpandukan garis panduan dan syariat yang disampaikan oleh Rasulullah. 

Wahai putriku. 
Saat Allah takdirkan untuk mu seorang lelaki sebagai suami, disitulah tumpahnya kasih sayang dan rahmah. Banyak perkara yang perlu engkau pelajari untuk menjadi isteri solehah . 
Disini umi turunkan pesan dari pengalaman dan amalan, agar sedikit sebanyak menjadi bekal buat panduan dalam melayari laman kehidupan. 

💐Rendahkan dirimu dengan suami, jadikan dirimu umpama bumi, nescaya engkau akan dinaungi oleh langit yang sangat luas anugerahnya. 

* merendah diri dengan suami tidak akan merugikan apa-apa. Sekalipun engkau memiliki sesuatu kelebihan berbanding suamimu, sama ada harta, kecantikan, ilmu atau kedudukan. 
Bahkan dengan merendah diri,kedudukan mu disisi Allah akan lebih tinggi. 

*Jika engkau merasakan ilmu mu mungkin lebih dari dia, bertawaduklah, kerana ilmu semuanya milik Allah. Kita hanya dipinjamkan seketika.

*Berhikmahlah dalam membetulkan kesilapan pasangan. Jangan sampai menjatuhkan air muka nya dan menyebabkan dia merasa hina. 

*Cari waktu yang sesuai dan membetulkan kesilapan dengan cara bergurau senda tanpa menyakitkan hati adalah lebih menyenangkan. 

💐Banyak kan sabar dengan pasangan. 
- Sebelum berkahwin, ramai guru dan sahabat yang telah berkahwin menasihati umi untuk "banyak bersabar".
Tapi bersabar itu terlalu luas, terlalu abstrak untuk diterjemahkan. Hinggalah kita sendiri yang melaluinya baru kita fahami bahawa sabar itu adalah 
* jangan cepat melenting
* jangan cepat naik angin
*jangan cepat marah-marah
* jangan cepat menghukum
Pendek kata, tenangkan diri walau dalam apa jua keadaan. 
Ia bukan mudah. Tapi hasilnya indah. 

🌹Berhemahlah dalam berbelanja ketika telah bergelar isteri.

* Dahulukan keperluan dari keinginan . 

* Perhatikan keadaan kewangan suami sebelum berkehendak dengan sesuatu keinginan yang mungkin diluar kemampuannya. 

*Sabar menempuh ujian kesukaran dan kesusahan diawal perkahwinan insyaAllah akan membawa bahagia yang berpanjangan. 

*Bantulah ekonomi keluarga dengan mengamalkan surah Al-Waqiah dan juga solat dhuha. Insya-Allah rezeki akan semakin berkat dan bertambah. 

*Jangan lupa tasbih Fatimah setiap malam sebelum tidur, ia sumber kekuatan seorang wanita. 

*Amalkan zikir yg diajarkan nabi kepada anaknya Saidatina Fatimah radhiallahu anha.
 ياَ أَوَّلَ الأَوَّلِيْنَ وَيَا آخِرَ الأَخِرِيْنَ، يَا ذَا الْقُوَّةِ الْمَتِيْنِ،
 وَيَا رَاحِمَ الْمَسَاكِيْنَ، وَياَ أَرْحَمَ الالرَّاحِمِيْن


Wahai puteri Ku. 
Allah berfirman dalam Alquran, 
Surah az-zariyat ayat 49- 50

وَمِنْ كُلِّ شَيْءٍ خَلَقْنَا زَوْجَيْنِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ

49. Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan agar kamu mengingat (kebesaran Allah).

فَفِرُّوْٓا اِلَى اللّٰهِ ۗاِنِّيْ لَكُمْ مِّنْهُ نَذِيْرٌ مُّبِيْنٌۚ

50. Maka segeralah kembali kepada (menaati) Allah. Sungguh, aku seorang pemberi peringatan yang jelas dari Allah untukmu.

* Perhatikan lah dua ayat diatas wahai anak, seolah nya Alquran berbicara kepada kita, seandainya menghadapi sebarang permasalahan bersama pasangan, segeralah kembali kepada Allah. 

Surah ar-Ruum ayat 21
وَمِنْ ءَايَٰتِهِۦٓ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَٰجًا لِّتَسْكُنُوٓا۟ إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَءَايَٰتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.

Semoga Ayat-ayat Alquran sentiasa menemani mu dalam menjalani alam rumah tangga. Dan semoga beroleh keberkatan hingga ke jannah. 

Dedikasi pertama untuk anak ngaji generasi awal. Bint sham dan pasangan. 
4/4/2025. 

*ummuabdulqadir*






Selasa, 14 Mei 2024

Hari guru jangan di jadikan hari penuh ragu.


Bismillahirrahmanirrahim. 

Menghampiri sambutan Hari guru. 

Guru adalah insan mulia. Membimbing manusia dengan ilmu, menghilangkan kejahilan insan agar lebih mulia dengan adab dan nilai yg tinggi. 

Allah muliakan anak Adam berbanding makhluk lain dengan Ilmu. Dan guru penyampai ilmu yang disanjung tinggi. 

Jesteru, apabila tiba hari guru, banyak aktiviti diadakan untuk meraikan para guru. Namun berhati-hati lah, jangan sampai apa jua aktiviti dan program yang dilaksanakan menjadikan nilai seorang guru dipandang rendah. 

Guru lelaki dan perempuan menari dan menyanyi di pentas, guru-guru beraksi dengan aksi yang menyebabkan murid sendiri tertanya-tanya, bolehkah kita buat begini? Murid jadi penuh ragu, pulang ke rumah tanya ibu dan ayah" Cikgu buat begitu begini tak apa ka? "

Ada guru-guru yang sangat menjaga diri, tapi bila diaturkan aktiviti terpaksa mengikut supaya tidak disebut sebagai " Tidak sporting ".

Almarhumah Ustazah Zahrah Abu Bakar pernah menyebutkan pada seorang guru, " Tidak sepatutnya seorang guru perempuan menampakkan rambutnya walaupun pada seorang murid perempuan. (Ertinya tidak memakai tudung ketika muridnya menziarahi nya dirumah) bukan kerana aurat, tapi kerana nilai Hisymah(nilai sopan dan kehormatan) seorang guru itu sangat tinggi. 

Bila seorang guru berakhlak dengan akhlak yang tidak layak, beraksi dengan gerakan ciptaan Yahudi dan Nasrani maka nilai Hisymah dan kehormatan nya akan tercalar dan menjadi rendah. Maka akan hilang rasa hormat dari seorang murid dan hilang keberkatan dalam ilmu. Hilang berkat dalam ilmu, hilanglah manfaat ilmu. 

Tahniah untuk guru-guru yang tetap menjaga diri. Tahniah untuk sekolah yang tetap menjalankan aktiviti hari guru dengan penuh sopan dan etika tinggi. Semoga Allah menjaga 
Semua pendidik yang telah mengorbankan masa dan tenaga untuk mendidik anak bangsa. 

Terima kasih untuk semua guru-guru yang telah mendidik kami dan mendidik anak-anak kami. بارك الله فيكم

# لو_ لا_ المربي_ماعرفت_ربي
#ibrahdanqissah
#serisurikehidupan

Tema hari guru 2024
Guru Jauhari Digital aspirasi negara madani. ☺

Khamis, 21 Disember 2023

catatan buat anak tentang hari ini


Bismillahirrahmanirrahim
Selawat dan dalam buat baginda Sayyidil awwalin wal aakhirin. 


Wahai anak. 
Hari ini umi dan dunia menjadi saksi bahawa kekejaman Zionis itu luar biasa. Sudah tak terungkap dek rasa dan tak tertulis lagi dengan kata. Saudara kita di Filastin di ganyang sehabis-habis nya. 

Ketika catatan ini umi tulis, hari pembantaian terhadap penduduk G@z@ telah mencapai lebih 70 hari. 
Sedih hati umi tak terkata. 
Tak terbayang bagaimana kehilangan demi kehilangan yang menyakitkan. Kesakitan demi kesakitan yang berterusan. Kelaparan yang berpanjangan. Allah..... 

Wahai anak. 
Sebagai tanda beriman adalah kita mengasihi saudara kita yang mukmin sebagai mana kita mengasihi diri kita sendiri. 
Sabda nabi. 
لا يؤمن احدكم حتى يحب لاخيه ما يحب لنفسه
 
Seseorang belum lagi dikatakan beriman sehingga dia mengasihi bagi saudaranya sebagaimana dia mengasihi bagi dirinya sendiri. 

Hari ini dunia menjadi saksi, saudara Muslim kita dimusnahkan Yahudi yang bersifat seperti Yakjuj dan Makjuj. Tiada belas kasihan bahkan merasa bangga. Dalam masa yang sama terus mengejek dan mempersendakan nabi Muhammad Sallallahualaihi wasallam. 

Mereka tidak gerun dengan dunia kerana didokong @Marika yang bertindak umpama tangan dajjal. Kuasa veto padanya. Sangat jelas. Yang tidak mengikut kemahuan akan musnah . 
Tapi mereka lupa pembalasan akan tetap ada. 

Hati seorang ibu seperti umi, akan terus menangis melihat anak-anak kecil yang di keluarkan berdebu dari bawah runtuhan bangunan yang di bom tentera Zionis. Yang tertimbus dan tak di selamatkan entah berapa banyak. Pilu hati melihat ayah yang memanggil anak-anak nya dari celah-celah timbunan runtuhan. Sakit, sangat menyakitkan 💔

Lebih menyedihkan, seorang lelaki membawa cebisan badan anak-anak nya didalam beg plastik kesana kemari. Allah. . Hasbunallahwaniamalwakil. Namun dunia islam yang kuat disekeliling Palestin masih membisu. Tak mampu berbuat apa-apa. Kecuali negara Yaman yang bertindak penuh keberanian. 
Wahai anak, ingatlah, apa yang berlaku telah berada dalam Qadha dan Qadar Allah Taala. Namun kita perlu mengambil iktibar dari setiap perkara yang berlaku. 

فاعتبروا يا اولى الابصار
Ambillah iktibar wahai orang yang punya pandangan(al-Hashr-ayat 2) 

Syeikh Ahmad Fahmi zam-zam rahimahullah sering menyebutkan kepada kami ketika mengajar " Tarikh islami" -"Belajar lah dari sejarah. Kerana apa yang berlaku dalam sejarah itu akan berulang, cuma wataknya sahaja yang berbeza". 

Apa yang berlaku kepada Gaza pada hari ini antara lain adalah disebabkan oleh pengkhianatan kepimpinan ummat islam sendiri. Memudahkan dan berlemah- lembut dengan musuh Islam hingga mereka "naik kepala"
Sedangkan sepatutnya

اشداء على الكفار رحماء بينهم
Tegas terhadap orang kafir dan berkasih sayang terhadap sesama Muslim
(Al-Hujurat ayat 29) 

Wahai anak. Ingatlah pesan umi, jaga agama dan aqidahmu, jaga solatmu. Kerana Solat itu adalah satu amanah diantara hamba dan Tuhannya. Seorang yang menjaga amanah dengan  Allah tentu sekali dia tidak akan mengkhianati amanah yang diberikan kepada nya walau dalam apa jua keadaan. 
Anak-anak yang dikasihi. Melihat wajah redup dan lembut anak-anak Filastin dengan senyuman dan kekuatan luar biasa, mengingatkan umi dengan anak-anak. Walau dimana kalian berada. Cabaran kalian akan berbeza. Namun aqidah kita sama. Teruslah menghadapi cabaran zaman dengan ilmu dan panduan dari Alquran, Hadis dan ahli ilmu yang menyampaikan. Terus berpaut pada guru yang ada sifat wara' supaya kita akan sentiasa dipimpin dalam kebenaran dan tahu membezakan yang hak dan yang batil. 

Semoga Allah jaga anak-anak umi dan generasi yang akan datang. Mana tahu, jika Allah takdirkan kalian adalah antara golongan yang mampu sujud di Masjidil Aqsa dengan tenang dan selamat. 
Subhanallah... 
Alhamdulillah... 
Allahuakbar.....