Ahad, 17 April 2022

#Rayan, satu kehilangan yang memilukan dan sebuah kisah.



Bismillahirrahmanirrahim.

Seorang anak kecil bernama Rayyan tiba-tiba di sebut dunia setelah peristiwa yang mendebarkan  berlaku di sebuah desa kecil di Maghribi. Penantian demi penantian akhirnya membawa khabar pilu dengan pemergian si anak kecil walaupun telah berjaya diselamatkan. Begitu ketentuan takdir Allah yang maha Esa, Rayyan menanti di sana dengan syafaah untuk ibu bapanya. 

Masyarakat di Tarim biasanya bila mendengar tentang kematian anak kecil mereka akan menyebut (setelah menyebut Innalillahi wainna Ilahi rojiuon)
" Masya Allah, syafaah"

Kehilangan seketika Rayyan di dalam telaga  menyentap Nurani siapa sahaja yg bergelar ibu. Ujian yang sangat besar buat ibu dan ayahnya. Ia mengingatkan kami kepada kehilangan jejak seorang cucu saudara berusia 2 tahun lebih. Walaupun cuma hilang dari pandangan mata kasar dalam masa hampir 1 jam, keadaan sudah jadi kelam kabut. 

Ia berlaku kira-kira pukul 6.30 petang 25 January lalu. Ali yang berusia 2 tahun lebih tiba-tiba terlepas dari pandangan ketika bermain-main di hadapan rumah. Kelam kabut kami mencari. Kanak-kanak yang turut bermain di persekitaran juga mencari dan memanggil-manggil nama Ali. Maklong, mak ngah , Paksu juga turut kehulu dan kehilir. Umi dan ayah Ali apa lagi. Cemas. Ali masih tak dijumpai. 
Mencari di belakang rumah, store simpanan barang, meninjau di longkang besar, jiran yang baik hati turut keluar dengan motosikal nya ke jalanraya, mana tahu mungkin ada Ali disana. 
Panik. Pukul 7.00, Ali masih tak dijumpai hatta suaranya pun tak kedengaran. Pelik. Ali seorang anak yang ceria, jika ayah memanggil pasti pantas dia menyahut. 
Kasihan umi Ali yang tengah sarat, kehulu kehilir dengan genangan air mata mula bertakung. 
Seketika saya masuk ke dalam rumah, mandikan si kecil Salem, kawan sepermainan Ali. Sambil siapkan Salem terfikir-fikir , apa doa untuk cari barang yang hilang. Teringat dengan doa yang diajarkan Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam, lantas di baca berkali-kali sebanyak yang sempat. 
اللهم ياجامع الناس ليوم لا ريب فيه إجمع علي ضآلتي
(Saya baca إجمع علينا ضآلتنا kerana kami ramai-ramai mencari)

Selepas siap pakaikan Salem pakaian, cepat-cepat keluar semula. Jam menunjukkan lebih kurang 7.20 petang. Umi Ali masih dihadapan rumah. Mata merah hati risau.
" Tak jumpa lagi" katanya. 
Seketika terdengar Ali menangis.
"Betul ka suara Ali?" Hati berdetik. 
"Ha, Tu Ali"
Riuh rendah kanak-kanak yang ada disekeliling bila melihat ayah Ali tiba-tiba bawa Ali keluar dari belakang rumah. 
"MasyaAllah , pi mana la cek oi....oghang caghi meghata" Maklong, mak ngah pun ghisau X sangga😊
Lega perasaan umi Ali bila anak sudah dalam pelukan.
Anehnya, tempat Ali dijumpai itu sudah berapa kali dijengah, dipanggil namanya. Tak ada sesiapa pun nampak Ali disitu. Mak ngah jengah kesitu, Paksu dan kanak-kanak yang ramai pun dah cari Ali disitu. Ayah Ali apatah lagi. Wallahu Ta'ala a'alam apa yang melindungi. Sementelah hari sudah senja. 
Kehilangan jejak hampir 1 jam sahaja sudah menggetar kan jiwa seorang ibu. Betapa kehilangan yang nampak tapi tak tercapai untuk diselamatkan. MasyaAllah. kuat dan tenang nya jiwa seorang muslim bernama ibu dan ayah #Rayyan. 
Semoga setiap kisah menjadi ibrah dalam hidup kita. Tidak mutlak hanya sepotong doa itu yang membuatkan Ali dijumpai, tapi juga doa umi dan ayah Ali yang mengharap, doa jiran-jiran dan kanak-kanak yang turut sama mencari. Kerana doa adalah senjata seorang mukmin. 

#kisahRayyan. Betapa kita memahami nyawa seorang manusia amat berharga. Kerana seorang insan itu telah dilantik sebagai khalifah Allah. Jagalah khalifah-khalifah kecil kita. Semoga membesar dengan IMAN DAN TAQWA.

#qissahdanibrah
#Islamituindah
#serisurikehidupan


Tiada ulasan:

Catat Ulasan