Era pembelajaran makin mencabar. Kemuncaknya adalah dengan pembelajaran dalam talian yang menjadi bualan dan keresahan. Benarlah sabda Nabi Muhammad sallallahu Alaihi Wasallam bahawa suatu hari nanti ilmu akan diangkat. Kita tidak dapat mencapai ilmu dengan sebebasnya. Sekalipun dapat diakses dalam talian ,tentu saja tidak sama seperti bersemuka dan bertalaqqi.
Disini ingin saya kongsikan bagaimana kami anak-anak didik di Maahad Tarbiah Islamiah Derang MTID membesar dengan bahasa Arab dan jawi. (Tanpa menafikan kehebatan institusi pendidikan yang lain.) Kami diajar jawi dan bahasa Arab dari kecil dengan kaedah yang mudah. Satu demi satu. Pengulangan demi pengulangan. Sehingga anak-anak kecil tidak merasa berat dan terbeban. Dalam masa yang sama mengenal hukum dan akhlak menerusi kaedah membaca , menulis , mengulang dan menghafaz. Berulang-ulang. Kitab-kitab kecil untuk tahap satu dan 2 disusun oleh guru-guru yang dihormati. Antaranya adalah al-marhum Syeikh Niamat Yusuf al-Azhari , al-marhum Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam an-Nadwi dan al-marhum Syeikh Abu Bakar Awang Al-Baghdadi. Rupanya setelah meneliti kitab Taalimul mutaalim kita dapati kaedah penyusunan kitab tahap 1 dan 2 ini adalah sangat serasi dengan pesanan Imam Az-Zarnuji dalam kitab tersebut. Iaitu dengan kaedah memulakan pengajian dengan yang sedikit dan banyakkan mengulang sehingga dapat mengingatkan apa yang dipelajari. Kita boleh meneliti gambar-gambar dibawah bagaimana pengulangan demi pengulangan di buat tanpa perlu meletakkan frasa yang panjang. Agar anak-anak kecil seawal 7 dan 8 tahun tidak merasa terbeban untuk belajar.
Kenapa kaedah ini di ketengahkan? Kerana sedih melihat anak tahun satu yang perlu menghadapi pembelajaran secara terpaksa. Tapi tetap perlu dihadapi. Mahu atau tidak. Tidak perlu lagi dihuraikan. Kerana telah ramai yang menulis tentangnya.
Semoga ada sinar baru untuk pendidikan anak-anak dimasa akan datang. Kerana sebagaimana canggih sekalipun teknologi, tetap fitrah seorang anak itu bermula perlahan-lahan dari menyusur, meniarap merangkak dan bertatih.Tidak ada yang boleh merubah agar dia boleh terus berlari dan melompat tanpa melalui fasa-fasa fitrahnya.
Ya Allah. Tambahkan lah kami ilmu. Dan rezeki kan lah kefahaman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan