Jumaat, 4 April 2025

Pesan Buat puteri bakal bidadari dihati suami


Perkahwinan adalah satu sunnah anjuran Rasulullah. Melaksanakannya adalah menyempurnakan sepertiga agama. 
Suami dan isteri adalah individu yang diciptakan untuk saling melengkapi kekurangan masing-masing. 
Perkahwinan jadi indah bila ia dilaksanakan atas tujuan taat dan patuh pada perintah Allah. Berpandukan garis panduan dan syariat yang disampaikan oleh Rasulullah. 

Wahai putriku. 
Saat Allah takdirkan untuk mu seorang lelaki sebagai suami, disitulah tumpahnya kasih sayang dan rahmah. Banyak perkara yang perlu engkau pelajari untuk menjadi isteri solehah . 
Disini umi turunkan pesan dari pengalaman dan amalan, agar sedikit sebanyak menjadi bekal buat panduan dalam melayari laman kehidupan. 

💐Rendahkan dirimu dengan suami, jadikan dirimu umpama bumi, nescaya engkau akan dinaungi oleh langit yang sangat luas anugerahnya. 

* merendah diri dengan suami tidak akan merugikan apa-apa. Sekalipun engkau memiliki sesuatu kelebihan berbanding suamimu, sama ada harta, kecantikan, ilmu atau kedudukan. 
Bahkan dengan merendah diri,kedudukan mu disisi Allah akan lebih tinggi. 

*Jika engkau merasakan ilmu mu mungkin lebih dari dia, bertawaduklah, kerana ilmu semuanya milik Allah. Kita hanya dipinjamkan seketika.

*Berhikmahlah dalam membetulkan kesilapan pasangan. Jangan sampai menjatuhkan air muka nya dan menyebabkan dia merasa hina. 

*Cari waktu yang sesuai dan membetulkan kesilapan dengan cara bergurau senda tanpa menyakitkan hati adalah lebih menyenangkan. 

💐Banyak kan sabar dengan pasangan. 
- Sebelum berkahwin, ramai guru dan sahabat yang telah berkahwin menasihati umi untuk "banyak bersabar".
Tapi bersabar itu terlalu luas, terlalu abstrak untuk diterjemahkan. Hinggalah kita sendiri yang melaluinya baru kita fahami bahawa sabar itu adalah 
* jangan cepat melenting
* jangan cepat naik angin
*jangan cepat marah-marah
* jangan cepat menghukum
Pendek kata, tenangkan diri walau dalam apa jua keadaan. 
Ia bukan mudah. Tapi hasilnya indah. 

🌹Berhemahlah dalam berbelanja ketika telah bergelar isteri.

* Dahulukan keperluan dari keinginan . 

* Perhatikan keadaan kewangan suami sebelum berkehendak dengan sesuatu keinginan yang mungkin diluar kemampuannya. 

*Sabar menempuh ujian kesukaran dan kesusahan diawal perkahwinan insyaAllah akan membawa bahagia yang berpanjangan. 

*Bantulah ekonomi keluarga dengan mengamalkan surah Al-Waqiah dan juga solat dhuha. Insya-Allah rezeki akan semakin berkat dan bertambah. 

*Jangan lupa tasbih Fatimah setiap malam sebelum tidur, ia sumber kekuatan seorang wanita. 

*Amalkan zikir yg diajarkan nabi kepada anaknya Saidatina Fatimah radhiallahu anha.
 ياَ أَوَّلَ الأَوَّلِيْنَ وَيَا آخِرَ الأَخِرِيْنَ، يَا ذَا الْقُوَّةِ الْمَتِيْنِ،
 وَيَا رَاحِمَ الْمَسَاكِيْنَ، وَياَ أَرْحَمَ الالرَّاحِمِيْن


Wahai puteri Ku. 
Allah berfirman dalam Alquran, 
Surah az-zariyat ayat 49- 50

وَمِنْ كُلِّ شَيْءٍ خَلَقْنَا زَوْجَيْنِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ

49. Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan agar kamu mengingat (kebesaran Allah).

فَفِرُّوْٓا اِلَى اللّٰهِ ۗاِنِّيْ لَكُمْ مِّنْهُ نَذِيْرٌ مُّبِيْنٌۚ

50. Maka segeralah kembali kepada (menaati) Allah. Sungguh, aku seorang pemberi peringatan yang jelas dari Allah untukmu.

* Perhatikan lah dua ayat diatas wahai anak, seolah nya Alquran berbicara kepada kita, seandainya menghadapi sebarang permasalahan bersama pasangan, segeralah kembali kepada Allah. 

Surah ar-Ruum ayat 21
وَمِنْ ءَايَٰتِهِۦٓ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَٰجًا لِّتَسْكُنُوٓا۟ إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَءَايَٰتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.

Semoga Ayat-ayat Alquran sentiasa menemani mu dalam menjalani alam rumah tangga. Dan semoga beroleh keberkatan hingga ke jannah. 

Dedikasi pertama untuk anak ngaji generasi awal. Bint sham dan pasangan. 
4/4/2025. 

*ummuabdulqadir*






Tiada ulasan:

Catat Ulasan