KITA, ANAK REMAJA dan media sosial.
**********************************
Sebenarnya bila anak-anak mula meningkat remaja, kita mula terasa kesan sosial di alam maya . Walaupun hakikatnya seorang dewasa akan tertarik hati melihat anak-anak remaja dan belia. Dengan erti kata kagum dan merasa masa remaja amat berharga. Punya wajah yang ceria dan menarik. Tenaga yang kuat dan gagah. Perwatakan yang menjadi perhatian. Inilah sepatutnya masa mereka isi dengan mencari ilmu sebanyaknya. Berbakti sebaiknya.
من فاته التعليم وقت شبابه
فكبر عليه اربعا لوفاته
Sesiapa yang terluput waktu untuk mencari ilmu ketika mudanya
Maka sudah layak di takbirkan 4 kali atas kematiannya.
(Ertinya orang yang tidak belajar ketika muda seolah-olah orang yang telah mati, kerana menimba ilmu di usia muda umpama mengukir di atas batu dan menimba ilmu ketika telah lanjut usia umpama mengukir diatas air. Kesannya sangat berbeza.)
Tapi syabab atau orang muda punya cabaran tersendiri
الشباب شعبة من الجنون
Masa muda sebahagian dari kegilaan.
Dengan peredaran zaman , remaja mempunyai pelbagai bentuk cabaran. Kadangkala remaja mampu menanganinya. Dan ada yang hanyut dengan cabaran zaman. Dibawa arus kemodenan. Menjadi rosak ditelan masa. Namun remaja yang dididik dengan ilmu , dididik dengan menghargai masa,dididik dengan tauhid yang jitu, dibelai dengan kasih sayang dan dibimbing penuh perhatian, insyAllah akan melalui usia emas ini dengan cemerlang. Usia emas bukan ketika tua. Tapi usia emas adalah sewaktu kuat bertenaga, punya masa terluang yang mampu diisi sempurna. Adalah sangat rugi dan bakal mengundang penyesalan sekiranya waktu muda tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
Seringkali, hati jadi sedih, melihat anak-anak muda yang sepatutnya mengisi masa dengan ilmu atau berbakti, dilihat banyak berbual kosong di jalanan. Menghabiskan masa dengan motorsikal dan gajet ditangan.
Lebih menyedihkan bila ada yang terlibat maksiat.Sudah tidak rasa berdosa. Berpasangan dari usia yang sangat mentah. Media sosial jadi penghubung jarak yang tiada lagi sekatan . Ikhtilat yang nyata tiada batas dan rasa malu. Bertegur sapa, usik mengusik lelaki dan wanita dikhalayak maya seolah dunia dia yang punya.
Innaillahiwainnailaihirajiuon . Sangat merbahaya. Terlalu merbahaya. Pintu fitnah yang telah terbuka seluasnya. Digunakan tanpa sebarang kawalan oleh mereka yang tidak kukuh agamanya akhirnya membawa kepada kehancuran maruah dan akhlak. Bahkan orang yang dalam didikan agama pun bisa terjebak dan terfitnah.
Allah.......
Aqidah yang murni adalah kunci pemeliharaan diri dari segala fitnah dan dosa. Bila seorang remaja merasa Allah itu Ada. Maha Melihat setiap tindakannya, pasti maksiat dia jauhi.
اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلاةَ إِنَّ الصَّلاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ
Artinya: “Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, yaitu Al Kitab (Al Qur’an) dan dirikanlah sholat. Sesungguhnya sholat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (sholat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadah-ibadah yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (QS.al‘Ankabut(29):45)
Jawapan yang cukup mudah untuk segala permasalahan yang ada. Kenapa pelbagai perkara buruk berlaku dalam hidup seseorang? Kerana tidak mengambil berat, mengabaikan atau lansung tidak solat.
الصلاة عماد الدين, فمن اقامها فقد اقام الدين ومن هدمها فقد هدم الدين. البيهقي
Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikannya maka dia telah menegakkan agama, dan barangsiapa yang merobohkanya maka dia telah merobohkan agama. Riwayat Baihaqi.
Kenapa berlaku keruntuhan akhlak? Kerana tiangnya tidak didirikan dengan betul. Atau didirikan tapi tidak berkualiti.
Dan antara kunci yang mampu menjauhi perkara maksiat adalah MALU. Tanpa rasa malu, iman jadi goyang.
الْحَيَاءُ مِنَ الْإِيْمِانِ
Dari Abu Hurairah berkata bahwa Rasulullah bersabda: “Dan rasa malu adalah sebagian dari iman.” (HR. Muttafaq ‘alaih)
عَنِ ابْنِ عُمَرَ رض قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ ص: َاْلحَيَاءُ وَ اْلاِيــْمَانُ قُرَنَاءُ جَمِيْعًا. فَاِذَا رُفِعَ اَحَدُهُمَا رُفِعَ اْلآخَرُ. الحاكم و الطبرانى من حديث ابن عباس
Dari Ibnu 'Umar RA, ia berkata : Rasulullah SAW bersabda : "Malu dan iman itu adalah selalu bersama, maka apabila hilang salah satunya hilang pula yang lain". [HR. Hakim, dan Thabarani meriwayatkan dari haditsnya Ibnu Abbas]
Semaikanlah rasa malu yang tebal dalam diri anak-anak gadis. Bahkan tidak rugi mendidik anak lelaki dengan rasa malu. Biar dia malu untuk punya pasangan di usia yang tidak sepatutnya. Walau mungkin akan diperlekehkan kawan-kawan.Agar dia menghargai insan berlainan jantina. Ajarkan rasa malu agar dia tidak memandang wajah yang bukan mahramnya. Kerana dari pandangan mata akan membawa turun ke hati.
لك الاولى ولا عليك الثانية
Bagimu pandangan yang pertama tapi tidak boleh mengulang pandangan yang kedua.
Begitu sabda nabi kepada anak muda yang bernama Fadhal apabila lalu seorang gadis dihadapan mereka.
Bagaimana dengan hari ini. Di media sosial, fb, insta, wechat dan lain-lain, penuh dengan warna-warni. Lelaki dan wanita. Muda dan remaja. Gadis dan belia. Pandangan anak-anak remaja kita sentiasa disana. Apakah akan selamat dari fitnah hati dengan sebab mata?
Ya Allah..... ampuni kelalaian kami.
Dulu, gambar perlu diminta untuk ditatap. Tak bagi tak dapat. Tapi sekarang hanya dengan muat turun dari talifon segala watak termuat untuk ditatap. Hati-hatilah anak-anak remaja ku . Bila memuat naik gambar ia bisa jadi punca fitnah. Ia bisa jadi punca sihir. Jika ingin juga berkongsi, (aplikasi semakin canggih,dan kita mampu mengawalnya) kongsikan dengan sahabat sejantina sudah memadai. Kongsikan dengan ibubapa itu yang paling utama. Namun anak-anak remaja licik dan bijak. Sembunyikan apa yang dimuatnaik dari pandangan ibubapa. Tapi tidak dengan rakan-rakan berlainan jantina. Demi pujian, demi sanjungan. Ingatlah sekalipun boleh di 'Hide' kan dari ibu dan ayah, apakah kita mampu 'Hide' kan nya dari pandangan Allah yang maha Melihat.? Sedang setiap detik malaikat di kiri dan kanan mencatat.
Sebagai ibu bapa kita juga berperanan. Jangan sampai tidak tahu apa-apa dengan teknologi yang ada. Memberi dan percaya bulat-bulat dengan anak remaja. Memberi dan membiarkan dia sewenang-wenangnya menggunakan aplikasi yang ada. Sama-samalah kita pantau fb, insta dan wechat milik anak-anak remaja. Tak mustahil kita akan temui banyak perkara yang mengejutkan. Tentu kita bukan ibu yang tak kisah anak-anak gadis kita diusik dengan kata-kata tidak baik dikhalayak maya. Tentu kita bukan ayah yang dayus membiarkan anak-anak gadis bergambar dengan sesiapa sahaja lelaki tanpa rasa berdosa. Semua itu mungkin bukan dalam sangkaan kita. Namun anda jangan menyangka anak kita suci sempurna. Kerana pengaruh yang sangat kuat dari kawan-kawan dan teknologi yang ada bisa menukar kucing jadi buaya. Yang dahulunya jinak boleh bertukar liar tanpa disangka. Pantau lah wahai ibu ayah. Kalau tidak tahu, tanyakan kepada yang arif. Jangan sampai nasi menjadi bubur dan bubur dah menjadi basi baru kita menyedari.
Ketika itu air mata pun dah tak mampu mengalir lagi.
Namun jika anak-anak remaja kita memuat naik yang baik-baik sahaja, syukur alhamdulillah.Tapi pantauan tetap perlu.Terasa sangat kagum dengan seorang cikgu yang tidak membenarkan anak lelakinya mempunyai sebarang akaun sosial, Fb dan sebagainya kecuali setelah berumur 17 tahun. Dan anak itu begitu patuh hatta tidak memiliki talifon pintar sekalipun. Sekurang-kurangnya umur 17 tahun sudah memiliki sedikit kematangan dalam bertindak.
Dalam kekalutan, kekusutan dan kekeruhan ada ketenangan, kelapangan dan kejernihan. Dalam kesedihan hati melihat kecelaruan akhlak anak-anak remaja disekeliling, ada kedamaian pada ketika melihat wajah-wajah jernih anak-anak remaja di madrasah ilmu. Wajah mulus dan bersih remaja dan anak muda penghafaz al-Quran di Maahad tahfizul Quran. Kagum dengan anak muda yang tetap menjaga solat dan berpekerti mulia meskipun di kelilingi cabaran yang hebat di mana-mana sahaja. Sayangilah dan hargailah anak muda dan remaja yang menjadi harapan bangsa.
Marilah bersama, jaga aqidah anak-anak kita, jaga solat mereka, tanam rasa malu, cintai Allah dan Rasul. Semoga kita dan anak-anak, benar-benar khalifah Allah di muka bumi.
(الشباب والأمل) عنوان محاضرة اليوم لفضيلة الدكتور الشيخ بسام عجك "حفظه الله".
أهم محاور المحاضرة:
١- سل نفسك دائماً: كم من الخلق سينجو بسببك من نار جهنم؟.
٢- كان أغلب أصحاب النبي صلى الله عليه وسلم الذين ناصروه وأيدوه ونشروا الإسلام في أصقاع الأرض من الشباب.
٣- المطلوب منكم اليوم هو طلب العلم النافع والتخلق بالأخلاق الفاضلة وبهذا تنصرون قضايا أمتكم.
٤- اعملوا لنراكم مستقبلاً في أعلى المراتب.
٥- عليكم بصحبة الصالحين، وإياكم وصحبة الأشرار والأراذل والفجار....
٦- رغم كل الضعف والوهن الذي تمر به الأمة تذكروا أنكم الأمل...، فإياكم واليأس، فإن اليأس كفر.
Cnp
(Pemuda dan harapan) tajuk ceramah yang berbahagia doktor Bassam I'jik hafizahullah.
Antara isi penting ceramah tersebut:
1. Selalulah bertanya dirimu: berapa ramaikah manusia yang akan selamat dari api neraka jahannam dengan asbab dirimu?
2. Kebanyakan dari para sahabat nabi sallallahalaihiwasallam yang menolong dan membantunya dalam menyebarkan dakwah ke seluruh pelusuk dunia adalah dari kalangan pemuda.
3. Kalian dituntut hari ini untuk mencari ilmu dan berakhlak dengan akhlak yang terpuji kerana dengan inilah kalian akan membantu kedudukan ummat kalian.
4. Beramal lah, nescaya kalian kelak akan berada pada kedudukan yang tinggi.
5. Hendaklah kalian bersahabat dengan orang-orang yang soleh.
Dan jauhkan diri dari bersahabat dengan orang-orang yang jahat , keji buruk sikapnya.
6. Biarpun betapa lemah dan sakitnya ummat, namun ingatlah bahawa kalianlah harapan.Jangan sesekali berputus asa, kerana berputus asa adalah satu kekufuran
#Maaf_catatan_panjang.
#tolong_doakan_saya_juga.
#Inspirasi_ibu_anak_remaja.🙂
Tiada ulasan:
Catat Ulasan